30 December 2016

ADA KETULAN DI PAHA - NOURUL WAHAB JALANI PEMBEDAHAN



Semalam, penyanyi Nourul Wahab Depp, 38, telah selamat menjalani pembedahan kecil bagi membuang ketulan di paha kanannya di sebuah pusat perubatan.

Nourul atau nama penuhnya Noorul Huda Abdul Wahab berkata, kehadiran ketulan itu disedarinya sejak 18 tahun lalu, namun dibiarkan saja sebelum nekad membuat keputusan untuk membuangnya, baru-baru ini.

Walaupun kehadiran ketulan itu tidak memberikan sebarang tindak balas buruk terhadap tubuhnya, Nourul bagaimanapun, mengambil langkah berjaga-jaga supaya kesihatannya pada masa akan datang tidak terjejas.





"Alhamdulillah, saya hanya menjalani pembedahan kecil dan proses itu juga tidak mengambil masa yang lama. Tiada apa yang serius, cuma saya mengambil langkah berjaga-jaga demi masa depan.

Mungkin hari ini ketulan itu tidak mengganggu, tetapi saya tidak tahu pada masa akan datang. Saya dibenarkan pulang sebaik saja selesai pembedahan selesai," katanya.

Nourul turut menasihatkan orang ramai supaya melakukan segera pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengesan ketulan pada mana-mana bahagian tubuh.




--- IKLAN ---




Katanya, walaupun dianggap tidak berbahaya, namun ia mungkin akan memberi kesan yang boleh menjejaskan kesihatan apabila usia meningkat.

"Lebih baik mencegah sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Memang saya prihatin dalam penjagaan makanan dan menitikberatkan pengambilan makanan tambahan, tetapi kita tidak pernah tahu kemungkinan yang boleh berlaku pada masa depan.

"Saya sarankan sekiranya sesiapa yang mempunyai ketulan pada badan supaya segera berjumpa doktor. Minta pandangan mereka kerana itu lebih baik daripada membiarkan ia melarat," ujarnya dipetik sebagai berkata.


Sumber: Berita Harian
Foto: Nourul Wahab



         ________________________





No comments: