19 December 2016

NIKAH KALI KE-2 - RIEZMAN KHUZAIMI BAKAL HONEYMOON DI TANAH SUCI



Pada 15 Disember lalu, pelakon Riezman Khuzaimi, 46, telah menamatkan zaman dudanya apabila selamat menikahi wanita yang mendapat jolokan 'Iron Lady', Datuk Normaziah Sheikh Mohamad, 47, yang merupakan seorang usahawan syarikat gergasi dalam industri peralatan paip serta kosmetik tanah air.

Majlis akad nikah mereka yang diadakan kira-kira jam 2 petang secara kecil-kecilan di Shah Alam, Selangor itu hanya dihadiri kira-kira 40 anggota keluarga terdekat.

Menurut Riezman, pada bulan depan beliau bersama isterinya akan berbulan madu di Tanah Suci Makkah.





Sebelum itu, katanya, beliau dan wanita usahawan itu akan menyelesaikan segala urusan majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Disember ini di sebuah hotel di Shah Alam.

"Insya-Allah bulan depan kami akan berbulan madu dengan mengerjakan umrah bersama-sama. Sebelum itu, kami mahu selesaikan dulu majlis pada 24 Disember ini, membabitkan rakan media dan penaja.

"Alhamdulillah, kehidupan saya kini juga semakin lengkap dengan kehadirannya," ujar ringkas selain berkongsi sekeping gambar dirinya bersama isteri pada majlis berbahagia mereka baru-baru ini.




--- IKLAN ---




Ketika ini, pelakon drama 'Nasi Minyak Kuah Cinta' itu turut sibuk melakukan persediaan bagi melancarkan pelbagai sambal segera di bawah nama R For Recipe, tahun hadapan.

"Saya sebenarnya sudah menceburi dunia perniagaan sejak 2011 lagi. Namun, ia tidaklah bermakna saya akan berhenti berlakon.

"Dunia lakonan yang diceburi sejak dua dekad lalu takkan saya tinggalkan begitu saja. Cuma, saya kini lebih selektif dan tidak boleh menerima apa saja tawaran dihulurkan. Jadi, dengan adanya sedikit waktu, saya alih ruang masa itu kepada dunia perniagaan.

"Selepas dua restoran saya, RK Recipe Kafe di Taman Melawati dan Jalan Stonor ditutup, hujung tahun lalu, saya mula mengikuti kursus dan seminar keusahawan. Saya juga mula berjinak-jinak dalam dunia korporat kerana isteri turut menceburi sektor berkenaan," katanya yang sebelum ini turut terbabit dalam perniagaan menjual biskut dan pakaian.

Riezman pernah berkahwin dengan pelakon, Kartina Ayub, pada 2001 namun berpisah pada 2015. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Afiq Kiraman, 13, dan Ruzain Nars, 8.

Kartina pula mempunyai seorang lagi anak daripada perkahwinan terdahulu, Tatiana Batrisya, 21. Isteri terbaharunya juga pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini.


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: