22 February 2017

ISTERI HAMIL 4 BULAN - ALIFF AZIZ TERUJA BAKAL BERGELAR AYAH



"Kami tidak merancang bila masa sesuai untuk mendapatkan anak dan berita kehamilan ini memang satu kejutan," kata penyanyi Aliff Aziz, 26, yang terkejut apabila mendapat tahu isterinya, Bella Astillah, 23, kini sedang hamil anak sulung mereka.

Kata Aliff, dia memberi reaksi itu kerana teruja dan tidak menyangka bakal bergelar seorang bapa dalam masa beberapa bulan lagi.

"Alhamdulillah kami bersyukur dan gembira kerana cahaya mata ini akan menguatkan lagi kasih sayang di antara kami selain anak adalah pembawa rezeki," ujar Aliff yang berkahwin dengan Bella pada 9 September tahun lalu.

Klik untuk gambar besar




Bercakap mengenai Bella, Aliff berkata, isterinya itu sudah hamil kira-kira 16 minggu dan dijangka bersalin sekitar Julai depan.

Jelas Aliff, pada awal kehamilan Bella mengalami alahan yang agak teruk namun kini keadaannya beransur pulih.

"Selain daripada alahan, pada awal kehamilannya Bella agak sensitif sikit mungkin kerana masih ingin membiasakan diri kerana ia adalah pengalaman pertamanya.



"Alhamdulillah kini keadaannya lebih baik dan 'morning sickness' (alahan mengandung) pun sudah tiada lagi," tuturnya.

Bakal bergelar ayah, Aliff berkata dia berazam untuk menjadi seorang lelaki lebih baik demi keluarga dan bayi yang bakal dilahirkan. Kata Aliff lagi, dia juga bersemangat untuk mengukuhkan kerjayanya selain mahu terus bekerja keras.

"Ini adalah fasa baharu dalam hidup saya pada tahun ini dan sekarang ia bukan lagi tentang diri saya tetapi keluarga dan anak. Saya perlu bekerja keras bukan untuk diri sendiri lagi tetapi isteri dan anak," jelasnya.










Sumber: mStar
Foto: Aliff Aziz IG & Bella Astillah IG



         ________________________





No comments: