20 February 2017

KELUARGA BERPINDAH KE KL - AMENG AKUI DIRINYA KINI SEMAKIN 'MAHAL'



Saham penyanyi Ameng Spring atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 49, mencanak naik sejak berakhirnya program realiti Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Ibarat penjenamaan semula dirinya dalam industri seni, biarpun tidak bergelar juara, Ameng memberitahu bahawa dirinya itu dihujani tawaran nyanyian secara mendadak.

Ekoran situasi tersebut, 'harga' Ameng juga semakin meningkat naik seiring dengan permintaan yang banyak serta pengalamannya selama 27 tahun sebagai penyanyi.

Klik untuk gambar besar




"Saya bersyukur kerana sejak berakhirnya program berkenaan, tawaran persembahan semakin banyak.

"Hal ini kerana sudah ramai orang tahu yang saya telah kembali menyanyi sejak keluar dari Penjara Kluang, Johor pada Jun tahun lalu.

"Boleh dikatakan ia seperti penjenamaan semula Ameng dalam industri seni, termasuklah harga bayaran yang meningkat naik," katanya.



Kenaikan 'harga' tersebut menurut Ameng adalah wajar dan normal buat penyanyi berpengalaman sepertinya.

Tidak adil seandainya dia masih menerima tahap bayaran sama, sedangkan rakan seangkatan yang masih popular sehingga hari ini seperti Ziana Zain sudah dibayar dengan kadar harga yang jauh berbeza.

Ameng turut menyifatkan, kenaikan harga bayaran yang diterima sebagai perkembangan positif untuk meneruskan survival dalam industri seni.



"Saya bukan demand, tetapi harga bayaran telah naik secara automatik selepas keluar dari penjara lagi.

"Selepas GV3, memang harga bayaran ada meningkat sedikit, tetapi bagi saya ia adalah kenaikan yang wajar, seiring dengan pengalaman 27 tahun dalam industri seni serta 15 buah album yang dilahirkan bersama kumpulan Spring.

"Saya juga ada sekitar 30 sehingga 40 lagu popular, jadi kenaikan kadar bayaran bukan satu isu kerana ia adalah perkara yang normal.



"Lihat sahaja penyanyi seangkatan seperti Ziana Zain dan beberapa penyanyi lain, semuanya sudah ada harga tetap sendiri.

"Saya juga masih waras dalam meletakkan harga. Biasanya harga yang diberi haruslah berbaloi dengan jumlah lagu yang akan dinyanyikan," jelasnya.

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Terengganu itu juga mendedahkan dia kini telah berpindah dari Melaka ke Kuala Lumpur sejak Januari lalu untuk memudahkan urusan kerjaya.



"Sebenarnya saya dan keluarga telah berpindah ke Kuala Lumpur sejak Januari lalu. Berat sebenarnya hati untuk berpindah ke ibu kota kerana telah selesa dengan kehidupan di Melaka.

"Namun, demi memudahkan urusan kerjaya seni yang lebih banyak berpusat di Kuala Lumpur saya terpaksa berkorban dan berpindah.

"Alhamdulillah sejak berpindah ke Kuala Lumpur, saya boleh menyempurnakan lebih banyak tawaran persembahan termasuk yang berskala kecil.



"Saya juga boleh muncul menerusi radio dan sesi fotografi bersama media walaupun pada awal pagi sedangkan dahulu memang agak sukar untuk dipenuhi kerana faktor jarak dan masa," ujarnya.

Ditanya bagaimana pula penerimaan keluarga atas perpindahan tersebut, kata Ameng, isterinya Sabariah Zakaria, 47, serta anak lelaki Wan Ammar Haikal, 10, telah dapat menyesuaikan diri dengan baik dengan suasana baru sejak berpindah.

"Isteri saya dan anak dapat menyesuaikan diri dengan baik. Boleh dikatakan semuanya berjalan lancar termasuk anak yang telah bertukar sekolah di sini.

"Antara perubahan positif sejak berpindah, saya lebih mempunyai banyak masa bersama keluarga, tetapi dalam masa yang sama boleh menerima lebih banyak tawaran nyanyian kerana lokasi persembahan semuanya berdekatan," tuturnya.


Sumber: Kosmo
Foto Ameng Spring IG & Sabariah Zakariah IG



         ________________________





No comments: