15 March 2017

3 GAMBAR - AZHARINA SAHKAN AMBIL ANAK ANGKAT LAGI



"Saya sangat bersyukur dan menganggap semua ini adalah ketentuan serta rezeki daripada Allah, yang mengurniakan seorang lagi lelaki dalam hidup saya.

"Saya menerima kehadirannya dengan penuh kasih sayang," demikian kata penyanyi Azharina Azhar yang mengesahkan beliau kini mengambil seorang lagi bayi lelaki sebagai anak angkat.

Difahamkan, bayi yang diberi nama Rizkie Azharin Azhar itu dilahirkan pada 5 Mac lalu.

Klik untuk gambar besar




Pada September 2014, Azharina turut mengambil bayi lelaki diberi nama Rahmat Azharin sebagai anaknya.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Elegi Sepi' itu berkata, bayi berkenaan diserahkan seorang hamba Allah yang mahu beliau membesarkannya kerana kesempitan hidup.

Kata Azharina, niat asalnya hanyalah untuk membantu wanita terbabit, namun hatinya sayu dan terbuka menerima anak berkenaan selepas menguruskan proses bersalin si ibu pada 5 Mac lalu.



Sempat berseloroh, beliau berkata, selepas kembali aktif dalam bidang seni, dirinya menyangka akan bertemu jodoh, namun Allah mengurniakan lebih daripada itu.

"Saya fikir akan bertemu jodoh, rupa-rupanya inilah hadiah buat saya sempena sambutan hari lahir ke-32 pada 11 Mac lalu.

"Saya akan pikul amanah ini sebaik mungkin dan saya juga gembira kerana Rahmat sangat sayang dengan adiknya," katanya.



Sementara itu, Azharina yang juga juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) bakal mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 26 Mac ini. Ia juga konsert pertamanya sejak bergelar penyanyi pada 2001.

Meskipun teruja, Azharina mengaku tetap gementar menjelang persembahan yang akan menyaksikan dirinya menyanyikan 14 lagu, termasuk secara medley.

"Saya akan menyampaikan lagu yang tidak pernah disampaikan sebelum ini, selain beberapa karya hit dan permintaan daripada peminat.

"Selain itu, saya juga akan menyanyikan lagu Sia seperti dicadangkan Datuk Ramli MS sebelum ini. Bukan Chandelier, sebaliknya saya pilih lagu Cheap Thrills," katanya yang akan turut mempersembahkan lagu popular Tina Turner, Proud Mary, pada persembahan itu nanti.


Sumber: Berita Harian
Foto: Azharina Azhar IG



         ________________________





No comments: