15 March 2017

ISU BERPEGANGAN TANGAN: "SAYA ANGGAP UQASHA SEBAGAI ADIK" - SHAH ISKANDAR



Beberapa hari lalu, gosip antara pelakon Uqasha Senrose dan Shah Iskandar menjadi bualan ramai apabila kedua-duanya dikatakan berpegangan tangan sewaktu menghadiri sebuah acara.

Enggan isu ini terus berpanjangan serta diperkatakan, Shah yang merupakan pelakon kelahiran Singapura itu menjelaskan tiada hubungan istimewa antara beliau dengan Uqasha. Sebaliknya, beliau menganggap aktres terbabit seperti adiknya sendiri berikutan usia mereka yang 10 tahun berbeza.

Klik untuk gambar besar




Menurut aktor itu juga, beliau bertuah kerana isterinya, Siti Sarah Mohd Noor, tidak mudah melatah atau berfikiran negatif di sebalik gosip yang melanda dirinya.

"Saya menganggap Uqasha seperti adik sendiri kerana jarak usia antara kami. Malah, drama Syurgaku Tak Sempurna lakonan kami bukanlah gandingan pertama saya dengan dia. Jadi, kali ini keserasian antara kami jadi lebih mudah.

"Boleh dikatakan, setiap kali berlakon, pasti timbul gosip sebegini. Takkan saya hendak menjalinkan hubungan cinta setiap kali terbabit dalam penggambaran?



"Isteri bagaimanapun ada bertanya, sama ada benar saya memimpin tangan Uqasha? Namun, dia tidak pula berfikiran negatif setelah mendengar penjelasan saya," jelasnya.

Dalam perkembagan terbaru, Shah dan Uqasha bergandingan bersama dalam drama rantaian, 'Syurgaku Tak Sempurna' siaran sebuah saluran berbayar. Karya arahan Michael Ang itu juga menampilkan lakonan Raja Ilya, Didie Alias dan Zulikmal Amry.

Shah dan Sarah mendirikan rumah tangga di Singapura pada 16 Januari tahun lalu, dalam majlis ringkas yang dihadiri keluarga dan saudara terdekat.


Sumber: Berita Harian
Foto: Shah Iskandar IG & Uqasha Senrose IG



         ________________________





No comments: