05 March 2017

ANA RAFFALI KINI JADI GURU BAHASA INGGERIS SEPENUH MASA



"Sejak dahulu saya memang meminati bahasa Inggeris malah mempunyai ijazah dalam bidang itu, jadi sayang kalau saya tidak gunakannya.

"Tambahan pula saya memang bercita-cita untuk bergelar seorang guru dan Alhamdulillah cita-cita itu tercapai," kata Ana Raffali atau penuhnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 32, yang memberitahu dia kini bertugas sepenuh masa sebagai seorang guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah persendirian sejak Mei tahun lalu.

Klik untuk gambar besar




Ana yang pernah popular dengan lagu 'Tolong Ingatkan Aku' berkata, keputusan menceburi bidang pendidikan kerana ingin mencapai cita-cita bergelar pendidik selain ingin memanfaatkan ijazah diperolehnya dalam jurusan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua(TESL) dari Universiti Teknolog MARA (UiTM) Shah Alam.

Dalam pada itu, kata Ana, walaupun sudah mempunyai kerja tetap dia tidak pernah melupakan cintanya terhadap bidang nyanyian. Sebaliknya kata Ana, dia masih aktif menulis lagu malah memberitahu mempunyai banyak koleksi lagu yang diciptanya sendiri.

"Saya tidak pernah melupakan bidang nyanyian malah masih aktif menulis dan mencipta lagu memandangkan saya ada studio mini di rumah. Saya ada simpan banyak lagu tetapi belum masanya saya membuat kemunculan semula," ujarnya.



Tambah Ana, profesionnya sebagai guru banyak memberinya idea untuk menulis lagu kerana kerjayanya itu menarik dan sentiasa memberi pembaharuan.

"Saya bukan sahaja mengajar tetapi menjadi seorang guru banyak inspirasi dan pengalaman yang saya dapat sekaligus memberi saya idea untuk membuat lagu.

"Malah saya gunakan muzik sebagai alat menarik minat pelajar untuk merasai keseronokan belajar bahasa Inggeris," jelasnya.



Sementara itu, Ana berkata, faktor anaknya, Aaydeen Oumar yang baharu berusia dua tahun turut membantutkan hasratnya kembali ke persada seni muzik tempatan.

Kata bekas juara Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) ini lagi, dia tidak mahu terlepas saat-saat anak lelakinya itu membesar.

"Saya tiada pembantu dan saya bersama suami yang bergilir-gilir menjaga anak kami. Kami tidak mahu terlepas saat-saat dia membesar dan tidak mengapa jika saya perlu memperlahankan karier seni kerana apa saya lakukan adalah demi anak," tuturnya yang berkahwin dengan Ahmad Aznaim Abdullah, 35, pada 25 Februari 2012.


Sumber: mStar
Foto: Ana Raffali IG



         ________________________





No comments: