25 March 2017

HASRAT SAMBUT ANNIVERSARY TAK KESAMPAIAN - NORA ARIFFIN REDA



Penyanyi Nora Ariffin bagai tidak percaya suaminya, Johan Nawawi terlebih dulu meninggalkan beliau dan anak kerana arwah begitu teruja untuk menyambut ulangtahun ke-25 perkahwinan mereka pada 9 April depan.

"Mati hidup balik pun, saya takkan jumpa lelaki sepertinya. Dia lelaki yang baik pernah saya kenali. Cuma, saya sangka saya yang akan pergi dulu, tetapi Tuhan lebih sayangkan dia. Saya reda.

"Dia ada merancang untuk mengadakan persembahan pada majlis ulangtahun perkahwinan kami April depan. Dia kata nak pakai tuksedo pada hari itu dan saya pakai baju Azura. Ia seperti meraikan kembali perkahwinan kami.

Klik untuk gambar besar




"Namun perancangan Allah itu kita tidak tahu," tutur pemilik sebenar Wan Norafizah Ariffin ketika ditemui di Masjid Ar Rahman.

Kata ibu kepada empat cahaya mata itu, kebelakangan ini suaminya begitu sibuk dengan kerja.

"Dua minggu lalu, dia berada di Jakarta dan Bandung, Indonesia, untuk urusan kerja seni. Ketika itu, saya selalu berpesan kepadanya, kita bukan muda lagi untuk bekerja keras dan mengembara jauh.

"Lima hari juga dia berada di Indonesia dan saya sendiri sempat menyertainya di Jakarta. Selama ini, memang suami saya tidak mempunyai penyakit kronik. Hanya kencing manis. Saya pula memang memantau apa saja yang dia makan.



"Cuma Rabu lalu dia nampak tidak sihat dan dibawa ke klinik. Doktor menyuruh suami dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Tapi dia berkeras tidak mahu berbuat demikian. Semalam bagaimanapun kami nekad membawanya ke hospital," kata Nora.

Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 11.30 malam Khamis selepas kesihatannya merosot. Nora berkata, dia tidak sempat berada di sisi suaminya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6.30 pagi Jumaat kerana serangan jantung.

"Saya bawa dia ke hospital pada malam tadi dan terus ditahan di wad kecemasan, saya minta bilik eksekutif tapi penuh.



"Jadi saya terpaksa balik, selepas itu kira-kira pukul 5.30 pagi pihak hospital telefon beritahu arwah dalam keadaan tenat.

"Bila saya sampai, doktor beritahu arwah sudah meninggal dunia. Pada mulanya saya seakan-akan tidak percaya minta mereka buat pemeriksaan sekali lagi. Tapi saya reda dia pergi ke tempat yang lebih baik," katanya.

Selain itu, Nora turut menyifatkan Allahyarham seorang suaminya yang penyayang dan kuat berkerja. Dia akan memastikan usaha Allahyarham dalam beberapa projek akan diteruskan.



"Orang selalu ingat kami orang senang tapi sebenarnya tidak, tapi Allahyarham kuat bekerja dan memastikan kehidupan kami cukup.

"Saya tidak ada kenangan pahit dengan dia. Semua kenangan bersamanya adalah kenangan manis," ujarnya.

Nora dan Johan berkahwin pada 9 April 1993 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Syakir Iman, 24, Mohd Syakir Alif, 18, Putri Nur Dahlis, 13 dan Putri Nur Fatehah, 5 tahun.

Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat semalam.








Sumber: mStar & Berita Harian
Foto: mStar, Berita Harian & Nora Ariffn IG



         ________________________





No comments: