"Selain janin, tiub fallopio pada bahagian kiri juga dibuang. Syukur alhamdulillah, mujur dirinya selamat," kata penyanyi Hazama Azmi, 33, mengenai isterinya, Genervie Kam, 37.
Isteri Hazama terpaksa menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, kelmarin, apabila disahkan mengandung di luar rahim.
Menurut Hazama, isterinya mengadu sakit perut sejak kira-kira dua minggu lalu dan selepas pemeriksaan dibuat, wanita itu disahkan hamil di luar rahim.
Klik untuk gambar besar
Katanya, doktor turut menasihatkan isterinya segera menjalani pembedahan agar tiada sebarang komplikasi lain berlaku.
"Ketika Genervie ke hospital bersama ibunya, saya tidak dapat ikut bersama kerana sibuk menguruskan dua protege saya (Usop dan Balqis) untuk program Mentor Milenia.
"Kemudian dia menghubungi saya untuk memaklumkan, sakit itu disebabkan dirinya sedang berbadan dua. Tidak lama selepas itu, isteri sekali lagi menghubungi saya untuk memberitahu dirinya hamil di luar rahim dan doktor menasihatkannya untuk segera dibedah," ceritanya.
Sementara itu, Hazama yang mendirikan rumah tangga dengan Genervie pada 15 Januari lalu di Gombak itu menyifatkan ada hikmah tersembunyi di sebalik ujian yang menimpa isterinya.
Reda dengan ketentuan Yang Maha Esa, beliau bagaimanapun percaya, Genervie pastinya bersedih, apatah lagi isterinya memang menginginkan cahaya mata.
"Sebagai suami, saya perlu kuat dan reda kerana Genervie memerlukan sokongan saya. Mungkin ia juga boleh dianggap sebagai peringatan buat kami yang terlalu sibuk bekerja tanpa henti, sehingga tidak memikirkan kesihatan diri.
"Selepas pembedahan, doktor menasihatkan isteri untuk berehat selama dua minggu, tanpa melakukan sebarang kerja," ujarnya lagi.
Hazama turut merancang untuk berehat dan meluangkan waktu bersama isteri selepas berakhirnya program Mentor Milenia 2017, beberapa minggu lagi.
Sumber: Berita Harian
Foto: Hazama IG & Genervie Kam IG
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment