01 April 2017

28 JULAI DEPAN - SITI SALEHA & TUNANG BERNIKAH



Majlis pernikahan pelakon Siti Saleha, 27, dengan pasangannya, Lutfi Azhar, 31, bakal berlangsung pada 28 Julai depan, selepas mengikat tali pertunangan pada 26 November tahun lalu.

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Saleha yang turut berkata yang majlis tersebut akan diadakan selepas solat Asar di sebuah lokasi yang masih dirahsiakan.

"Alhamdulillah saya sudah mendapat lokasi untuk melangsungkan perkahwinan dan sudah ada tarikh iaitu pda 28 Julai ini. Manakala majlis resepsi diadakan di lokasi lain pada keesokkannya.

Klik untuk gambar besar




"Majlis pihak lelaki pula akan diadakan seminggu selepas nikah. Kami memang mahu buat majlis pada tarikh yang dekat supaya mudah saudara mara yang jauh untuk datang," ujarnya ketika ditemui media pada majlis taklimat Anugerah DFKL yang diadakan di Sri Pentas.

Tambah Saleha, dia menyerahkan tugas pengurusan majlis perkahwinan berkenaan kepada syarikat pengurusan majlis yang dilantik.

Ditanya tentang keterbukaannya untuk berkongsi detik bahagia itu bersama media, Siti Saleha berkata, dia akan berbincang dengan bakal suaminya terlebih dahulu.



"Saya tidak kisah jika ada media yang mahu membuat liputan pada majlis itu, namun saya akan berbincang dahulu dengan bakal suami. Saya takut jika dia tidak selesa pula kerana dia bukan selebriti," katanya yang juga memberitahu majlis berkenaan bertemakan tradisional dan moden.

Pelakon yang popular menerusi drama rantaian, '7 Hari Mencintaiku' itu bersyukur kerana hubungannya dengan Lutfi berjalan lancar sepanjang lima bulan mereka bertunang.

"Alhamdulillah, pertunangan kami baik-baik sahaja dan Lutfi juga begitu memahami saya. Beliau tidak menghalang sekiranya saya mahu terus berlakon selepas mendirikan rumah tangga nanti.

"Selepas menjadi isteri, saya mengambil inisiatif untuk lebih selektif dalam menerima tawaran kerana mahu mempunyai lebih masa bersama suami," tuturnya.


Sumber: mStar & Berita Harian
Foto: Siti Saleha IG



         ________________________





No comments: