14 April 2017

DIDAKWA DERA ANAK TIRI - AZRI AF9 DIHADAPKAN KE MAHKAMAH



Gara-gara didakwa mendera anak tirinya dengan cara mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas pada tahun lalu, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9), Mohammad Azri Abdullah dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini.

Bagaimanapun, Mohammad Azri, 30, yang juga suami kepada bekas juara program Mentor musim kelima Salma Andi-Asis, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.





Terdahulu, dia didakwa sudah melakukan penganiayaan terhadap anak perempuan tirinya, yang kini berumur 10 tahun, dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, di sebuah pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya pada 8.00 pagi, 5 Mei 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.





Selanjutnya, Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Fahmi Abd Moin memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai tiga anak selain menjaga ibunya.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan supaya tidak menganggu mangsa dan menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula kes.



Untuk info, Azri dan Salma berkahwin pada 31 Januari tahun lalu dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata.


www.myartis.com / Sumber: BERNAMA


         ________________________





No comments: