11 April 2017

ISU PERSENDA PM: "BERAPA LAMA NAK DERA, NAJIP DAH MINTA MAAF" - AZNIL



Memandangkan selebriti dari Singapura, Najip Ali sudah pun meminta maaf dan menyesali perbuatannya, pengacara terkenal, Datuk Aznil Hj Nawawi, meminta semua pihak supaya tidak lagi mengungkit kisah kontroversi membabitkan bekas juri Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) itu.

Mengaku melihat insiden itu dari sudut positif, Aznil turut meminta orang ramai supaya menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran kepada semua pihak, dengan harapan perkara sama tidak lagi berulang.

"Saya bukannya hendak membela dia (Najip), tetapi saya melihat situasi itu dari perspektif yang cukup luas. Kalau Najip tidak berbuat salah, kita tak akan dapat belajar.

Klik untuk gambar besar




"Kesilapan yang dibuat Najip itu sekurang-kurangnya boleh dijadikan contoh supaya kita semua tidak melakukan perkara sama pada masa akan datang.

"Berapa lama kita harus mendera dirinya? Dia buat salah dan meminta maaf, ia satu perbuatan yang sangat murni. Kita pula, apabila orang minta maaf, kenalah maafkan dan teruskan kehidupan seperti biasa.

"Kita kena didik masyarakat dengan adab yang betul supaya masing-masing boleh belajar daripadanya dan bukannya mengelirukan mereka," kata Aznil ketika ditemui media pada majlis pelancaran #bazaarpaknil.



Aznil turut menafikan dakwaan kononnya perkataan 'batu api' yang digunakannya ketika membicarakan isu itu di laman sosial sebagai merujuk kepada pihak tertentu.

"Perkataan itu ditujukan kepada mereka yang gemar menulis komen negatif di laman sosial saya. Mereka bukan saja tidak boleh nak berganjak daripada isu itu, malah cuba melaga-lagakan pula saya dengan Najip," ujarnya yang mengambil alih tugas personaliti Singapura itu sebagai juri tetap program berkenaan, Jumaat lalu.

Menerusi program OK Chope! terbitan Channel 5 milik Mediacorp Singapura, penghujung Mac lalu, Najip bersama beberapa selebriti lain seperti Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See didakwa mempersenda Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, secara terbuka.

Ekoran daripada itu, pelbagai pihak termasuk netizen dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengecam tindakan mereka.


Sumber: Berita Harian
Foto: Aznil Hj Nawawi IG & Zed Zaidi IG



         ________________________





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...