27 April 2017

TARIKH DIPERCEPATKAN - NADYA SYAHERA & SUAMI BERSANDING 1 MEI INI



Pelakon Nadya Syahera Rosli, 24, memberitahu bahawa majlis persandingan bersama suaminya, Fizul Nawi, 25, yang akan diadakan pada 20 Mei depan dipercepatkan kepada 1 Mei ini.

Kata Nadya, ia dipercepatkan kerana pada tarikh berkenaan majlis bertandang akan diadakan di sebelah pihak suaminya di Kelantan.

Difahamkan, majlis perkahwinan sebelah Nadya yang akan diadakan di kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah itu berlangsung sehari selepas majlis berendoi anak sulung mereka, Aleena Rose yang dilahirkan pada 1 Mac lalu.

Klik untuk gambar besar




"Kenduri terpaksa dipercepatkan sebab dah nak masuk (bulan) Ramadan. Untuk majlis di rumah saya nanti biasa saja, jemputan adalah kira-kira 1,000 orang. Kenduri di kampung biasalah sanak saudara ramai. Saya ada juga undang rakan-rakan artis.

"Walaupun biasa-biasa saja tapi pelamin tetap ada dan saya pilih baju warna merah jambu. Majlis ini tetap diadakan kerana saya dan suami teringin nak bersanding macam pengantin lain.

"Saya tidak peduli apa orang nak kata kerana itu majlis saya yang mahu dikongsi dengan keluarga dan sahabat handai," kata Nadya yang telah bernikah pada 25 September 2015.

Sementara itu, kata Nadya, dia juga akan kembali berlakon selepas berehat untuk drama 'Abang Bomba I Love You' edisi raya pada pertengahan Mei ini.



"Sebenarnya selain drama 'Abang Bomba I Love You' untuk raya, saya juga dapat beberapa tawaran lain tetapi terpaksa ditolak kerana sibuk dengan persiapan kenduri. Lagipun kasihan pada Aleena yang masih menyusu badan," jelasnya.

Dalam pada itu, Nadya juga turut menyatakan kerisauannya berikutan berat badannya yang sukar naik.

"Sewaktu hamil, paling berat adalah 56 kilogram (kg) dan sekarang ini dah turun jadi 48 kg. Kalau orang lain risau nak turunkan berat badan, saya pula asyik fikir macam mana nak naikkan berat badan.

"Kadang-kadang makan macam 10 orang makan pun tetap rasa lapar. Dari segi itu saya bersyukur kerana tidak perlu risau nak turunkan berat badan. Saya memang perlu makan banyak sebab nak menyusukan Aleena," ujarnya.














www.myartis.com / Sumber: Utusan




         ________________________





No comments: