17 May 2017

BIMBANG TAK DAPAT BERI KOMITMEN - ISMAIL IZZANI BELAJAR SECARA 'HOME SCHOOLING'



"Sebelum saya tampil dengan 'Sabar' saya sudah berbincang dengan ibu-bapa tentang pembelajaran saya dan home schooling adalah jalan terbaik," kata penyanyi baharu, Ismail Izza mengenai dirinya yang belajar secara home schooling sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut Ismail, rutin hariannya mula padat dengan undangan nyanyian dan pada masa sama perlu memberi tumpuan kepada pelajaran.

Katanya lagi, beliau memilih untuk belajar dari rumah adalah kerana dirinya itu bimbang menimbulkan masalah seperti isu disiplin dan hilang tumpuan ketika belajar.





"Saya bimbang jika saya teruskan di sekolah biasa, saya tidak dapat memberi komitmen kerana kesibukan jadual nyanyian," jelasnya.

Kehidupan pendatang baharu ini berubah sejak single pertamanya berjudul 'Sabar' mendapat tempat di hati pendengar.

'Sabar' yang dilancarkan pada Februari lalu, mendapat hampir tujuh juta tontonan di YouTube sekali gus membuktikan dia diminati ramai.

Klik untuk gambar besar


Ismail yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir tahun ini berkata, walaupun pada awalnya berasa janggal namun dia kini lebih selesa belajar dari rumah dengan bimbingan guru peribadi.

"Alhamdulillah walaupun pada awalnya agak janggal tetapi belajar dengan guru peribadi saya lebih fokus dan adakalanya ada beberapa rakan lain turut serta," tuturnya ketika ditemui media pada majlis pelancaran portal beli-belah Roopawan dan pertunjukan fesyen Lebaran 2017.

Dalam pada itu, tambah Ismail, selepas sambutan Aidilfitri nanti dia akan memperlahankan karier seninya bagi memberi lebih tumpuan kepada persediaan SPM.



Kata Ismail, walaupun mempunyai karier namun dia tidak akan sesekali mengabaikan pelajaran kerana ia adalah jaminan masa depannya.

"Sekarang pun saya sebenarnya dah kurangkan aktiviti seni tetapi Insya-Allah lepas raya nanti fokus saya memang betul-betul pada SPM.

"Seperti orang lain, saya juga ada pasang impian untuk menyambung pelajaran di universiti dan saya perlu berusaha ke arah itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, dia bakal melancarkan sebuah lagu duet bersama Siti Nordiana dan dua artis Indonesia iaitu Fatin dan Rezki Febian bersempena Aidilfitri berjudul 'Raya Nusantara'.




www.myartis.com / Sumber: mStar




         ________________________





No comments: