30 May 2017

HAMIL 4 BULAN - ALAHAN TAK HALANG AMYRA ROSLI BERPUASA



Pelakon Amyra Rosli, 26, yang kini sedang hamil empat bulan memberitahu bahawa cubaan pertamanya berpuasa penuh pada Ramadan pertama berjaya, namun disebabkan kerap muntah, dia tidak dapat meneruskannya pada Ramadan kedua.

Meskipun begitu, isteri kepada Amar Baharin ini berkata faktor alahan tersebut tidak menghalang dirinya untuk menunaikan ibadat puasa.

"Alhamdulillah, saya dan bayi dikandung sihat. Doktor galakkan berpuasa malah ada ubat-ubatan yang perlu saya ambil.





"Hari pertama Ramadan saya dapat berpuasa penuh. Cuma semalam (28 Mei) saya gagal melakukannya kerana muntah-muntah," ujar Amyra.

Mengakui sudah mula menyesuaikan diri dengan perubahan biologi tubuh, Amyra berkata, berat badannya bertambah dua kilogram.

"Ketika awal kehamilan saya tidak ada selera makan. Badan menyusut daripada 45 kilogram (kg) kepada 42 kg. Alhamdulillah, ketika usia kandungan memasuki empat bulan, berat badan saya meningkat dua kg.

Klik untuk gambar besar


"Muntah-muntah itu perkara biasa dan saya sudah boleh menyesuaikan diri. Malah, baju pun semakin besar sekarang," tuturnya.

Ditanya mengenai jantina anak yang dikandung, kata bintang drama 'Isteri Tuan Ihsan' ini yang dia akan memaklumkan perkara tersebut bila sudah mengetahuinya.

"Saya akan maklumkan apabila sudah mendapat tahu. Buat masa sekarang, doktor nasihatkan saya banyakkan berehat dan menjaga kandungan," jelasnya.



Dalam perkembangan kerjaya pula, Amyra berkata ketika ini dia hanya terbabit dengan aktiviti berkaitan dengan produk diwakilinya.

"Suami (Amar Baharin) sekarang sibuk dengan penggambaran drama 26 episod. Dia tak mahu ambil cuti sebab mahu berehat panjang ketika saya melahirkan anak, akhir tahun ini.

"Tawaran berlakon saya tolak daripada awal lagi. Namun, undangan muncul di majlis dan sesi fotografi, saya masih mampu melakukannya," katanya.

Amyra dan Amar mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu selepas lebih setahun bercinta.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian




         ________________________





No comments: