18 May 2017

ISU TAMPAR DAVID TEO DI HADAPAN PM: "SAYA TAK MENYESALI TINDAKAN INI" - MAT OVER



"Saya tidak fikir apa yang saya lakukan keterlaluan kerana tindakan saya hanya untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin negara yang dihormati. Perdana Menteri menjadi tuan rumah acara ini.

"Saya tidak menyesali tindakan ini kerana bagi saya kerana Teo tidak menghormati kedudukan Rosyam bersama Perdana Menteri.

"Kita seharusnya sebagai rakyat Malaysia harus bersifat saling menghormati dan beradab," kata pelakon veteran dan pelawak, Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over yang turut menjelaskan bahawa beliau berfikir terlebih dulu sebelum menampar penerbit filem, David Teo.





Ujar Mat Over lagi, beliau menganggap cara penerbit filem itu biadab dan apa yang berlaku harus memberi pengajaran kepada Teo supaya tidak mengulangi keterlanjuran itu.

Sementara itu, David Teo ketika ditemui mendakwa tidak mengenali Mat Over. Namun, dia memaafkan tindakan pelawak itu kerana menganggap Mat Over tidak sengaja mencederakannya.

"Ini bukan gimik antara saya dan Rosyam. Saya menegur Rosyam kerana tidak memberi peluang kepada tetamu di belakang untuk bertanya.

"Itu pertanyaan pada Rosyam, tiada niat kurang ajar. Saya tidak niat mempertikaikan cara Rosyam mengendalikan dialog berkenaan.

Klik untuk gambar besar


"Mat Over datang meluru dan menumbuk dahi saya sehingga cermin mata tertanggal dan saya terjatuh ke atas Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob.

"Saya tidak akan mengambil tindakan undang-undang. Saya pun tidak mengalami kecederaan, setakat ini tiada kesan lebam lagi," tuturnya.

Semalam telah diadakan sesi program 'Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan)' di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, berlakunya kekecohan yang kini hangat diperkatakan di media sosial apabila Mat Over bertindak untuk menampar David Teo.



Insiden bermula apabila Teo seolah-olah mempersoalkan cara Rosyam mengendalikan sesi berkenaan kerana didakwa tidak melihat ke belakang dalam memilih penggiat seni untuk menyuarakan pandangan.

Program disiarkan secara langsung menerusi segmen FB Live di laman sosial Facebook itu, memperlihatkan Rosyam menegur Teo yang dianggap tidak menghormati Perdana Menteri.

Rosyam kemudian memberi laluan kepada Teo menyatakan pandangan dan penerbit filem itu mula berpantun.

Bagaimanapun, belum sempat Teo menghabiskan pantunnya, Mat Over tiba-tiba tampil lalu menampar Teo.

Kejadian spontan itu segera dileraikan oleh pasukan keselamatan dan kedua-duanya dibawa keluar dari tempat dialog berlangsung.

Ia turut menjadi viral di pelbagai platform media sosial.

Kekecohan kecil yang tercetus membabitkan insiden Mat Over menampar David Teo di hadapan Perdana Menteri, berakhir dengan baik apabila kedua-dua penggiat seni tanah air itu berdamai.

Mat Over dan David Teo bersalaman serta berpelukan sambil disaksikan Perdana Menteri dan moderator, Datuk Rosyam Nor.

Rosyam dan Najib kemudian meneruskan sesi dialog bersama hadirin. Kira-kira 400 pelakon, penyanyi, pengacara televisyen dan selebriti menyertai sesi dialog berkenaan.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian




         ________________________





No comments: