16 May 2017

MENGAKU AMBIL SYABU - MAMAT EXIST DIDENDA RM1,000



Mahkamah Majistret kelmarin telah menjatuhi hukuman denda RM1,000 keatas bekas vokalis kumpulan Exist, Mohd. Ali Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Mamat, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah mengambil dadah jenis syabu pada tahun 2011 lalu.

Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh setelah Mamat mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Mamat didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine (syabu) ke dalam badannya di pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, pada kira-kira pukul 3.30 petang, 21 Mac 2011.





Bagi perbuatan tersebut, penyanyi lagu 'Untukmu Ibu' itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Arwa Abdul Rahman.

Terdahulu, Arwa dalam rayuan pengurangan hukuman, memohon hukuman ringan buat anak guamnya memandangkan pertuduhan yang dihadapkan adalah kes pada 2011.

"Anak guam saya ditahan pada 2011 untuk kes ini dan kini dia sudah bebas daripada penyalahgunaan dadah.

"Kini, Mamat bekerja sebagai jurujual jualan langsung dan turut menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah berusia 11 hingga 15 tahun," katanya.

Noor Aisyah kemudian menjatuhkan hukuman denda tersebut dan turut memerintahkan penyanyi itu menjalani pengawasan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama lima bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mamat membayar denda tersebut.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo




         ________________________





No comments: