Aktres Anis Al-Idrus, 29, dalam satu majlis sidang media pengumuman tarikh perkahwinannya yang berlangsung di De'Laman Event Space, semalam memberitahu bahawa beliau tidak kisah mengenai status duda anak satu bakal suaminya, Aiman Rafzan.
Dalam masa sama, Anis berkata, dia sendiri sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu segera kepada anak lelaki Aiman atau nama sebenarnya Mohd Rafzan Nuhikmal Abdul Halim, 35, yang kini sudah berusia 10 tahun.
"Saya tidak kisah dengan status dia sebagai duda dan sudah mempunyai seorang anak, malah anak dia juga sudah boleh menerima saya sebagai ibu.
"Saya terima dia seperti mana dia menerima saya seadanya. Lagi pula dia berjaya buka hati saya untuk memikirkan tentang masa depan," ujarnya.
Anis dan bakal suaminya itu akan diijabkabul dalam sebuah majlis pada 7 Julai depan.
Menurut penyanyi lagu 'Mengapa' ini, majlis pernikahan itu akan diadakan dalam keadaan sederhana yang hanya dihadiri rakan-rakan yang rapat dengan dirinya sahaja.
Selain itu, Anis berkata, dia mengikut permintaan pihak keluarga yang tidak mahu mengadakan majlis resepsi secara besar-besaran.
Klik untuk gambar besar
"Atas permintaan keluarga saya majlis ini berlangsung secara sederhana yang hanya dihadiri 350 orang tetamu. Keluarga juga tidak mahu ada perarakan atau persandingan.
"Jadi, majlis itu nanti cuma akad nikah dan makan-makan sahaja, tapi ada pelamin untuk tetamu bergambar. Bukan apa, keluarga kami memang jenis yang tidak adakan majlis resepsi besar-besaran.
"Saya jemput kawan-kawan dan media yang rapat, serta beberapa rakan artis yang baik dengan saya sahaja," jelasnya.
Dalam pada itu, menceritakan detik perkenalan tiga bulan lalu, Aiman berkata, dia terpikat kepada kecantikan wajah Anis ketika pertama kali bertemu.
Katanya, sebagai pereka hiasan dalaman, dia mengakui sering tertarik kepada sesuatu yang cantik.
"Adik saya rakan baik dia, kami berkenalan pada awal Januari lalu dan saya akui jatuh cinta pandang pertama. Saya tertarik dengan kecantikkan dan caranya yang manja dan sopan," katanya.
Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 24 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup.
Sebelum ini, Anis Al Idrus pernah menjalinkan hubungan dengan aktor Sharnaaz Ahmad dan Raja Afiq. Bagaimanapun hubungan mereka tidak berkekalan.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment