23 June 2017

BELAJAR MENGAJI DI USIA 30 - "TIADA ISTILAH TERLAMBAT" - MIZZ NINA



"Saya sendiri belajar Alif Ba Ta dan al-Quran pada usia 30 tahun. Saya juga usaha baiki solat.

"Tampung yang mana lompong selain sering diingatkan kepentingan memelihara solat," kata Mizz Nina yang berusaha memperbaiki diri selain bersikap positif demi membentuk keperibadian lebih baik pada masa depan.

Dalam masa sama, isteri kepada Noh Hujan ini juga mengakui, tiada istilah terlambat dalam mengenali Allah SWT seterusnya memulakan kehidupan baru yang lebih bermanfaat.





"Alhamdulillah, semuanya bertambah baik sekarang. Apa yang penting, jangan malu dan berputus asa dan jangan rasa terlambat untuk mulakan sesuatu," ujarnya.

Bukan itu sahaja, Mizz Nina juga sangat memberi penekanan terhadap kepentingan mempelajari, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.

"Saya belajar mendalami bahasa Arab dengan ambil Diploma Pengajian Islam di Arees University. Bidang ini sentuh ilmu hadis dan fiqh.

"Namun, saya rasa agak sukar untuk hafal, baca dan memahami ayat-ayat al-Quran dengan baik walaupun hanya Juz Amma selepas tamat belajar.



"Jadi, apa yang saya lakukan, saya kembali pada yang asas dan belajar semula dari awal," tuturnya.

Oleh itu, Mizz Nina kini kerap menghadiri kelas-kelas agama selain kelas Al-Quran pada setiap minggu.

"Biasanya, saya akan baca al-Quran setiap pagi dan hujung minggu, saya akan ke kelas mengaji pula. Saya masih lagi belajar dengan sebutan ayat tepat dan betul.

"Ia proses yang perlahan tapi sangat penting, malah saya rasa lebih tenang dan seronok menjalani hari-hari saya," jelasnya.



Katanya lagi, dia sedang berusaha untuk sentiasa istiqamah dalam penghijrahannya apatah lagi ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

"Saya masih lagi berusaha keras pastikan penghijrahan saya ini bukan separuh jalan. Sebab itu orang selalu cakap bila nak berubah ke arah lebih baik ini perlu istiqamah.

"Bukan itu sahaja, kawan-kawan juga main peranan penting. Harus saling mengingati untuk buat perkara wajib dan baik," katanya.

Usia tidak menjadi penghalang untuk kita belajar mengenal kitab suci Allah. Semoga Mizz Nina terus istiqamah dalam hijrahnya dan menjadi ikon kepada muslimah-muslimah di luar sana.


www.myartis.com / Sumber: Sinar Harian




         ________________________





No comments: