23 June 2017

IKATAN PERTUNANGAN - INDAH AKUI SUDAH PUTUS SEJAK 3 BULAN LALU



Setelah lama mendiamkan diri berhubung ikatan pertunangannya, akhirnya penyanyi Indah Ruhaila, 29, mengakui bahawa beliau sudah putus tunang sejak tiga bulan lalu dengan jejaka yang hanya dikenali sebagai Mr R.

Pengakuan tersebut dibuat Indah menerusi akaun media sosial Instagram miliknya, dengan memuatnaik gambar kenyataan mengenai ikatan pertunangannya yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Dalam kenyataan itu, Indah mendedahkan dirinya dan bekas tunang masing-masing ada melakukan kesilapan sepanjang perhubungan mereka.





"Saya manusia tidak sempurna dan saya meletakkan diri saya paling bawah. Saya ingin memohon maaf atas segala khilaf kepada semua pihak yang terjejas dengan isu ini terutama ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan," katanya.

Penyanyi lagu 'Di Sebalik Takdir' itu berkata, dia hanya mampu merancang dan Allah yang menentukannya.

Indah juga tidak akan memberi komen lanjut dan enggan membicarakan hal berkenaan kerana banyak hati perlu dijaga.



"Saya juga memohon supaya diberi ruang dan privasi bagi diri saya dan keluarga sempena hari dan bulan baik ini," tuturnya.

Perkongsian kenyataan rasmi Indah itu mendapat hampir 500 tanda suka namun penyanyi berkenaan menutup ruangan komen.

Sebelum ini, Indah menafikan dakwaan kononnya menjalin hubungan dengan lelaki lain seperti didakwa oleh seorang individu yang dikenalinya.

Indah juga enggan menjawab status hubungan dengan tunangnya ketika ditanya sebelum ini.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Indah Ruhaila IG




         ________________________





No comments: