29 June 2017

SEBULAN LEBIH DI HOSPITAL - BABY GIRL IDZHAM ISMAIL DIBENAR PULANG



Selepas lebih sebulan 'berkampung' di hospital, akhirnya anak perempuan kepada pelakon Idzham Ismail, Nur Inara Sofia yang menghidap komplikasi jantung dibenarkan pulang.

Tiada apa yang dapat diluahkan selain lafaz kesyukuran, Idzham berkata yang anak sulung itu semakin stabil selepas menjalani pembedahan injap utama jantung pada 19 Jun lalu.

"Tiada apa yang boleh saya ucapkan selain kalimah syukur kerana mengikut kata doktor, bayi saya semakin stabil dan tidak perlu membuat rawatan susulan secara kerap.





"Cuma untuk tempoh awal ini, Inara harus dipantau setiap tiga bulan dan seterusnya enam bulan, setahun sehinggalah keadaannya benar-benar pulih," ujar Idzham.

Menurut pelakon yang mula dikenali dengan watak Panjang menerusi drama bersiri Juvana ini lagi, anaknya yang lahir di Hospital Shah Alam pada 24 Mei lalu pada awalnya normal sama seperti bayi-bayi lain.

Namun ketika doktor cuba menimbang berat, bayinya bertukar kebiru-biruan dan menjadi agak lemah.

"Pakar dari hospital Serdang mengesahkan Inara mempunyai komplikasi jantung yang dipanggil Transposition of Great Arteries (TGA).

Klik untuk gambar besar


"TGA ialah kecacatan jantung yang wujud sejak lahir (kongenital) terjadi dalam lapan dalam setiap 1,000 kelahiran," jelasnya.

Tambahnya lagi, tanda dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi-bayi ini berbeza antara satu sama lain mengikut kecacatan masing-masing.

"Pembedahan ke atas Inara berlangsung selama tujuh jam pada 19 Jun lalu dan ia berjaya dilakukan dengan sempurna oleh pakar bedah IJN.



"Alhamdulillah, keputusannya sangat positif dan cukup melegakan hati saya dan isteri," katanya yang hampir sebulan berulang-alik ke hospital sejak awal Ramadan lalu.

Malah katanya lagi, selama sebulan 'berkampung' di hospital, dia banyak belajar erti kesabaran yang sebenar.

"Biarpun raya kami hanya di hospital, saya gembira melihat perubahan positif Inara dari hari ke hari selain rasa bertambah kuat untuk berhadapan dengan situasi ini.

"Dan hari ini buat pertama kalinya bayi kami dibenarkan keluar dari hospital sejak dia dilahirkan," katanya sambil berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan puteri sulungnya itu.




www.myartis.com / Sumber: mStar




         ________________________





No comments: