28 June 2017

SYAWAL PERTAMA TANPA SYAHID - BAZLI UNIC ANGGAP IA KASIH SAYANG ALLAH



Anggota kumpulan nasyid UNIC, Bazli Hazwan Che Osman reda meneruskan kehidupan bersama isteri, Asiah Abu Bakar dan seorang lagi anak mereka, Muhammad Affan berusia satu tahun.

Bagi Bazli sambutan Syawal tahun ini membawa seribu satu perubahan dalam keluarganya selepas diuji dengan pemergian anak kesayangan, Muhammad Syahid pada 12 Ramadan lalu akibat kanser limfoma.





"Tahun ini merupakan Syawal pertama kami sekeluarga menerima dugaan dengan pemergian anak. Jika sebelum ini kami banyak menonton di televisyen tentang kematian yang berlaku tetapi tahun ini Allah menguji kami pula.

"Tidak mengapa, sebagai manusia memang tidak akan pernah lari daripada ujian. Saya anggap ia sebagai motivasi dan tanda Allah sayangkan kami sekeluarga," ujar Bazli.

Kongsi Bazli, segalanya masih segar dalam ingatan saat-saat akhir pemergian anak kecil kesayangannya yang baru berusia tiga tahun itu.

Klik untuk gambar besar


"Tidak banyak yang boleh dituturkan Syahid kerana anak saya merupakan penghidap penyakit autisme. Bagaimanapun, pada pagi sebelum dia pergi, Syahid meminta air daripada saya.

"Selepas minum, dia terus senyap. Syahid bernafas melalui mulut tetapi ketika itu saya dapat rasakan nafas dan degupan jantungnya semakin lemah.

"Segalanya terlalu pantas, namun sebagai bapa saya sudah bersedia dari segi mental berdepan sebarang kemungkinan.



"Bahkan beberapa hari sebelum dia pergi, hati saya telah digerakkan dengan beberapa kejadian," katanya.

Terus rancak berbicara, Bazli memberitahu, semuanya bagaikan kebetulan apabila dia dipertemukan dengan seorang lelaki yang juga mempunyai sejarah kematian anak akibat penyakit kanser.

Malah, tiga hari sebelum pemergian Syahid, dia bersyukur kerana dapat berkumpul bersama keluarganya menemani dan menggembirakan anak sulungnya itu di Hospital Kuala Lumpur.



"Kejadian ini berlaku 10 hari sebelum Syahid meninggal dunia. Ketika itu sinki di rumah saya rosak. Secara kebetulan tukang paip yang datang itu sempat berkongsi pengalaman pemergian anaknya akibat kanser usus.

"Pada malam sebelum Syahid pergi, saya dan Asiah tergerak hati untuk mengemas semua barangan Syahid kerana sudah empat bulan berada di hospital.

"Keesokan hari, apabila Syahid sudah tiada, barangan yang harus dikemas tinggal sedikit sahaja," tuturnya dalam keadaan tenang.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo




         ________________________





No comments: