22 July 2017

BELUM BERSARA - ZALEHA TERINGIN RAKAM 'SINGLE' BARU



Tahukah anda siapa yang lebih dulu mendominasikan lagu dangdut di Malaysia sebelum datangnya Amelina, Mas Idayu, Sheeda atau Ifa Raziah?

Untuk pengetahuan anda, orang itu ialah Zaleha Hamid yang bukan saja handal dalam genre dangdut, sebaliknya juga lagu berirama Hindustan dan Melayu Deli.

Antara lagunya popularnya adalah 'Jangan Segan Segan', 'Jangan Kau Tangiskan', 'Nasib Janda', 'Sesejuk Airmata Ibu', 'Dangdut Reggae' serta lagu duet termasuk 'Inang Aidilfitri' bersama Allahyarham Datuk Sudirman, 'Sesuci Kasihku Semurni Cintamu' (Aziz Ahmad) dan 'Joget Burung Merpati' (Herman Tino).





Namun ke manakah hilangnya Zaleha yang juga bekas anggota kumpulan Orkes Zindagi ini?

Pada usia 60 tahun, penghibur veteran kelahiran Sungai Pinang, Pulau Pinang ini sebenarnya masih aktif membuat persembahan di serata tempat termasuk Singapura.

Bagaimanapun tidak banyak publisiti mengenai Zaleha hingga ada pihak mendakwa dia sudah bersara dari bidang nyanyian.

Zaleha ketika dihubungi BLING! kelmarin, menafikan perkara itu dan berkata belum masanya beliau bersara dari bidang nyanyian.

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah, walaupun saya kurang muncul di kaca TV dan tidak banyak publisiti daripada pihak media generasi baru, saya masih lagi aktif membuat persembahan.

"Saya kini menetap bersama keluarga di Johor Bahru dan jika ada undangan ke mana pun insya-Allah saya akan cuba pergi.

"Antaranya, saya pernah membuat persembahan pembukaan pada konsert mingguan ketiga Kilauan Emas musim kelima sebelum ini," katanya.

"Alhamdulillah, sampai sekarang irama dangdut masih diminati ramai. Bukan saja di kampung, tetapi juga bandar besar.



"Saya pernah memberitahu peminat untuk bersara dari bidang seni kira-kira dua hingga tiga tahun lalu. Namun, masih ramai pula peminat yang tidak menyokong hasrat itu.

"Saya juga masih sayangkan peminat dan insya-Allah, selagi kesihatan mengizinkan, saya akan teruskan lagi karier nyanyian sekali gus menghiburkan peminat.

"Dari segi kesihatan, kadang-kadang saya jatuh sakit juga, tetapi sakit yang biasa saja dan tidak berat-berat,” tuturnya.

Mengenai album baru atau single pula, kata Zaleha yang beliau teringin merakamkannya tetapi belum ada perancangan ke arah itu lagi.

"Saya akui susah mencari pencipta lagu dangdut pop asli pada zaman ini. Tapi kalau ada saya teringin rakam 'single' baru.

"Sebab itu, irama dangdut asli yang saya perjuangkan dulu mampu bertahan sampai sekarang, kerana ia berkualiti” ujarnya.

Ditanya kemunculan ramai bakat baru pula, Zaleha berkata ia sesuatu yang positif kerana adanya pelapis dalam bidang nyanyian.

"Rata-rata bakat baru ada kelainan masing-masing dan ada yang mendapat bimbingan daripada guru vokal yang bagus.

"Saya harap semoga mereka berjaya dan berjuang dengan ikhlas untuk memajukan seni hiburan kita," jelasnya yang mengharapkan genre dangdut terus bertahan sampai bila-bila.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro




         ________________________





No comments: