15 July 2017

FAIZAL AF4 BALAS KENYATAAN BEKAS ISTERI



"Saya malas nak besarkan cerita rumah tangga kerana terlalu peribadi untuk dijaja, saya tidak pernah pun pukul dia atau naik kaki dan tangan sepanjang kami berkahwin.

"Saya akui kami masing-masing ada kesilapan, jika mahu cari salah saya, dia pun kena fikir kesilapan dia yang selalu mengeluarkan kata-kata kasar.

"Dia juga yang keluar meninggalkan saya dahulu sebelum kami berpisah," kata bekas juara Akademi Fantasia Musiam ke-4, Faizal yang membalas kenyataan bekas isterinya, Sahidatul Najiha Ibrahim.





Nampaknya kontroversi kegagalan rumah tangga Faizal buat kali ketiga ini masih belum reda apabila bekas isterinya mendakwa pernah dikasari sepanjang menjalani kehidupan sebagai suami-isteri.

Bagaimanapun, Faizal menafikan perkara berkenaan dan menganggap masalah rumah tangganya terlalu peribadi untuk didedahkan kepada umum.

Sahidatul menerusi laman sosial Facebook miliknya mendakwa Faizal atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ramly gagal menjalankan tanggungjawab sebagai suami sepanjang mereka berkahwin.

Klik untuk gambar besar


Isterinya juga dalam sebuah portal hiburan pada Khamis turut manafikan terdapat pihak ketiga punca perpisahan mereka.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada masalah kewangan turut menjadi punca rumah tangga yang dibina itu hancur, Faizal berkata, dia bekerja dan ada pendapatan untuk menyara keluarga.

"Kami tidak ada persefahaman lagi, tentang masalah kewangan itu bukanlah punca utama kerana saya bekerja menyara keluarga," ujarnya.



Sementara itu, Faizal berkata, kegagalan rumah tangga kali ketiga ini juga menjadikan dia serik untuk berkahwin kembali.

Katanya, buat masa ini, dia mahu kembali fokus terhadap kerjaya nyanyian selain mempromosikan produk terbaharu 'Beauty18'.

"Saya mahu fikir positif dan mulakan hidup baharu, sekarang mahu fikir kerja dahulu dan serik nak fikir tentang kahwin.



"Bagi saya perjalanan kehidupan saya dengan bekas isteri sudah berakhir dan tidak mahu mengingat kembali," tuturnya.

Faizal berkahwin dengan Sahidatul pada November 2015 dan pasangan ini telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Hanna Maleeka yang kini berusia 11 bulan.

Faizal melafazkan cerai terhadap Sahidatul di luar mahkamah pada Disember 2016.

Menerusi perkahwinan pertamanya, Faizal mempunyai seorang anak perempuan yang kini berusia tujuh tahun manakala untuk perkahwinan kedua pula, mereka tidak mendapat anak.


www.myartis.com / Sumber: mStar




         ________________________





No comments: