18 July 2017

HAMIL 8 BULAN - DIANA RAFAR BERHARAP DIKURNIAKAN 'BABY GIRL'



"Sebenarnya, suami kalau boleh tidak mahu tahu jantina anak kami. Dia mahu perkara itu menjadi kejutan buat kami berdua sehingga bersalin.

"Jadi setiap kali menjalani ujian imbasan kehamilan, dia meminta doktor tidak memberitahu jantina anak. Dalam soal ini, kami tidak kisah. Asal saja anak yang bakal lahir sihat dan sempurna.

"Cuma saya berharap kalau dapat anak perempuan mesti seronok. Cukup sepasang anak kami. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu berharap.





"Saya menyerahkan perkara ini kepada ketentuan Allah. Saya dan suami berserah dan menganggap anak adalah amanah dan rezeki.

"Apa yang penting, doakan semoga saya selamat bersalin dan dipermudahkan," kata pelakon Diana Rafar, 35, yang kini hamil lapan bulan.

Dalam pada itu, Diana berkata, orang sekeliling menjangkakan dia mendapat anak perempuan selain keluarga dan sahabat yang turut mendoakan impiannya itu tercapai.

Klik untuk gambar besar


Diana yang juga isteri kepada pelakon Zamarul Hisham ini berkongsi mengalami alahan yang teruk sepanjang hamil anak kedua ini.

Malah, Diana mengakui dia cepat rimas dan malas menjawab panggilan telefon daripada sesiapa saja.

"Dari awal kehamilan sehingga sekarang, saya sering letih. Keadaan ini tak sama seperti saya mengandungkan anak pertama dulu.



"Saya menyangkakan hamil anak kedua ini okey, sebaliknya alahan lebih teruk. Mungkin disebabkan jarak yang terlalu lama.

"Bukan saja cepat letih tetapi alahan pagi saya sangat teruk. Malah, saya juga mengalami mabuk sehingga menyukarkan untuk bekerja. Perkara itu membuatkan saya tak boleh berjumpa dengan sesiapa pun ketika ini.

"Paling teruk, saya malas nak menjawab mesej dan panggilan telefon. Bukan sombong, tapi perasaan itu lahir secara semula jadi.



"Saya pun pelik dengan situasi itu. Sehinggakan suami risau dibuatnya. Dia selalu bercerita keadaan saya kepada rakannya," ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, Diana juga mengalami alahan dari segi pemakanan sehingga usia kandungan mencecah lima bulan. Sehinggakan wujud perasaan Diana seperti tidak mampu mengawal keadaan.

Diana yang dijangka bersalin pada penghujung Ogos nanti juga bercerita dia masih menjalani rutin biasa iaitu mengurus, menghantar atau mengambil anak ke sekolah.

Semoga hajat pasangan ini ingin menimang cahaya mata perempuan selepas memiliki anak lelaki, Kashfi Haiqal yang kini berusia tujuh tahun, tercapai.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro




         ________________________





No comments: