24 August 2017

ALF2 BOCOR: "BUAT LAPORAN POLIS, BERI PERINGATAN" - YUSOF HASLAM


"Saya tidak mahu budaya media sosial ini (memuatnaik sedutan filem) menjejaskan industri filem kita," kata pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam berhubung kebocoran filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) kelmarin.





Penerbit bersama filem tersebut, Astro Shaw dan Skop Production Sdn. Bhd. telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati semalam terhadap individu yang memuatnaik sedutan filem itu dalam laman sosial peribadi secara haram.

Pihak Astro Shaw, Najwa Abu Bakar dan Datuk Yusof mengambil tindakan tersebut bagi mengelak perkara itu berlanjutan selain salah di sisi undang-undang.

"Walaupun sedutan itu hanya selama 30 saat, lebih baik mencegah sebelum ia melarat seperti apa yang berlaku kepada filem KL Gangster 2 pada 2013," tutur penerbit Skop Production.

Menurut Yusof, beliau juga mahu ia menjadi peringatan kepada sesiapa yang berniat melakukan perkara serupa.

Klik untuk gambar besar


"Mungkin 30 saat itu kita nampak kecil, tapi sebenarnya ia memberi impak besar kepada pembikin filem. Tujuan laporan polis dilakukan untuk memberi peringatan supaya tidak berlaku lagi perkara seumpama ini.

"Dan kali ini pihak saya dan Astro tidak akan berkompromi lagi, jika terdapat lagi perkara seperti ini kita akan ambil tindakan tegas dan saman," ujar Datuk Yusof.

Selain itu, beliau turut memohon masyarakat di luar sana supaya menghormati karya orang-orang seni.

"Janganlah kita sesuka hati memuat naik karya orang kerana itu akan menjejaskan kutipan dan respon orang di pawagam," tegasnya.



Sementara itu, Najwa berkata, dia mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh salah seorang kakitangannya pagi semalam. Najwa memberitahu, siasatan sedang dijalankan terhadap individu terbabit.

"Siasatan masih dijalankan oleh pihak berkenaan dan saya rasa biar mereka jalankan tugas mereka terlebih dahulu. Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dilakukan," jelasnya.

Abang Long Fadil 2 dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok, A. Galak dan ramai lagi.

Filem kerjasama pertama Skop Production dan Astro Shaw ini telah ditayangkan di pawagam bermula hari ini, 24 Ogos 2017.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo & Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: