06 August 2017

MASIH KEKAL IRAMA DANGDUT - IFA RAZIAH CARI LAGU 'TULAR'


Semua sedia maklum mengenai lagu jutawan kosmetik, Dato' Seri Vida berjudul 'I Am Me' yang menjadi tular sehingga ramai yang membuat parodi lagu tersebut.





Tidak mahu ketinggalan, penyanyi dan pengacara Ifa Raziah turut sama mengharapkan perkara tersebut berlaku kepada lagu baharunya.

Menurut Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 42, selepas muncul dengan single 'Terus Terang' setahun yang lalu, dia dan syarikat rakaman, Sony Music Malaysia kini sedang mencari lagu baharu untuknya.

Mahu kekal dengan irama dangdut, Ifa merancang untuk memilih sebuah karya yang boleh menjadi tular sesuai dengan trend masa kini.

"Saya sedang mencari single baharu selepas lagu 'Terus Terang' yang dikeluarkan tahun lepas. Saya dan Sony Music Malaysia sedang merancang untuk mengeluarkan lagu baharu pada tahun ini.

Klik untuk gambar besar


"Saya masih mengekalkan irama dangdut kerana bagi saya kemeriahan irama dangdut ini berbeza berbanding lagu-lagu berentak lain.

"Saya sudah dapat beberapa buah lagu tetapi saya tolak buat masa ini kerana saya dapat rasakan lagu-lagu tersebut tidak bersesuaian dengan cita rasa masa kini.

"Kalau boleh saya mahu mencari sebuah lagu yang mampu ditularkan. Lagipun sekarang ini memang musim tular, jadi tidak salah jika saya mahu mengikut trend dan saya berharap dapat mencari lagu sebegitu," jelas Ifa yang mendapat jolokan Diva Dangdut Malaysia.

Bercerita tentang lagu yang sudah tular, Ifa memuji usaha Datuk Vida yang tampil dengan lagu tularnya, 'I Am Me' baru-baru ini.



"Pada awal pemilihan lagu tersebut, saya ada bersama-samanya. Dia ada bertanya pendapat saya mengenai lagu itu.

"Saya katakan kepadanya dalam beberapa versi yang Edry Abd. Halim berikan kepadanya, saya rasa versi yang dipilih oleh Datuk Vida sekarang sangat sesuai untuknya.

"Bagi saya, niat Datuk Vida untuk sama-sama memeriahkan industri muzik ini satu usaha yang sangat bagus.

"Saya puji dia kerana berjaya menyahut cabaran diri sendiri untuk menyanyi. Tambahan pula dengan keletahnya membuatkan peminat seronok melihatnya," ujar Presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia.


www.myartis.com / Sumber: Utusan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: