18 August 2017

ULANGTAHUN KELAHIRAN KE-40 - ALTIMET NEKAD 'BERSARA'


Pada hari lahirnya yang ke-40 iaitu 27 November tahun hadapan, komposer dan penyanyi rap, Altimet nekad dengan keputusan untuk 'bersara'.





Altimet atau nama sebenar Ahmad Abdul Rahman, 39, berkata semua impiannya dalam bidang seni hampir tercapai dan tiba masanya untuk dia berubah angin ke bidang yang lain.

"Alhamdulillah, keputusan ini saya sudah buat sejak mula bergerak solo pada 2007 dan memang nekad untuk menamatkan karier pada tahun hadapan.

"Hampir semua impian dalam bidang seni sudah tercapai. Saya sudah ada perancangan selepas ini dimana akan lebih fokus pada bisnes.

Klik untuk gambar besar


"Sekarang ini pun saya menguruskan salah satu cawangan kedai gunting rambut Joe Filzzow dan akan ada beberapa lagi kedai baru yang akan dibuka," katanya.

Menurut Altimet lagi, dia tidak akan merakam lagu dan tiada persembahan daripadanya selepas menamatkan kariernya dalam bidang seni.

Bagaimanapun, penyanyi lagu 'Amboi' ini hanya akan mencipta lagu untuk penyanyi lain.

"Saya tak akan merakamkan album lagi dan tiada persembahan daripada Altimet. Lagu baru yang saya nyanyi memang tidak ada tapi saya tulis lagu untuk orang lain itu mungkin ada," ujarnya Altimet yang bakal mengeluarkan album keempatnya pada hujung tahun ini.



Dalam pada itu, Altimet memberitahu bahawa beliau bakal mengeluarkan single yang berkolaborasi dengan penyanyi rap baru yang akan diberitahu kelak.

Altimet memberitahu biarpun penyanyi tersebut masih belum dikenali namun dia memiliki mutu suara yang baik.

"Penyanyi rap baru ini belum dikenali dalam arus perdana. Tapi dia mempunyai kualiti suara yang bagus. Mungkin orang tengok saya hanya kolaborasi dengan selebriti yang ada sahaja.

"Tapi yang sebenarnya saya bukan tengok dia ada nama ke tak. Saya lihat pada mutu dan kesesuaian suara penyanyi tersebut dengan lagu," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: