26 September 2017

MASUK HOSPITAL SEMULA - DRAMATIS NORYATI TAIB (MAKCIK PETIR) KRITIKAL


Akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan diabetes, dramatis Noryati Taib, 60, atau lebih popular dengan gelaran 'Makcik Petir' dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).





Anak saudaranya yang juga pengarah dan penerbit drama, Shahrulezad Mohameddin berkata, Noryati dimasukkan semula ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru sejak pagi Isnin.

"Sebenarnya Mak Uda (Noryati) dimasukkan ke hospital sejak dua minggu lalu kerana penyakit diabetes dan dia sudah dibenarkan pulang sejak semalam (Ahad) dan keadaannya baik sahaja.

"Bagaimanapun apabila sampai ke rumah dia tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum bapa saudara saya membawanya kembali ke hospital dan saya dimaklumkan Mak Uda mengalami jangkitan kuman pada paru-paru," katanya.

Klik untuk gambar besar


Menjelaskan keadaan lanjut mengenai Noryati, Shahrul memberitahu ibu saudaranya itu diletakkan dalam keadaan koma bagi membolehkan dia berehat.

Bagaimanapun, keadaannya kritikal apabila dia dimasukkan ke Unit Penjagaan Kritikal (CCU) pada pagi Isnin sebelum dipindahkan ke Unit Penjagaan Intensif (ICU) di hospital sama.

"Apa saya diberitahu oleh sepupu saya keadaannya masih kritikal dan saya sedang menghabiskan satu babak drama arahan saya iaitu 'Monalisa' sebelum bergegas pulang ke Johor untuk menziarahinya.



"Noryati sepatutnya berlakon dalam drama itu tetapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dan saya minta dia berehat. Saya mohon kepada semua peminat mendoakan agar kesihatan ibu saudara saya kembali pulih," ujarnya.

Noryati memulakan karier lakonannya menerusi drama 'Sinderela' arahan Shahrulezad sendiri pada 2008.

Selain 'Sinderella', Noryati juga pernah muncul dalam drama bersiri seperti 'Tari Tirana', 'Dottie', 'Syurga Mu Ramadan', 'Cik Kiah Koleh Kacang', 'Menantu Malam Raya' dan 'Budak Ijat'.

Noryati yang mula berlakon dalam drama 'Abang Mak Panggil Balik' kerap berlakon dalam drama terbitan Radiusone Sdn Bhd milik Shahrulezad.




www.myartis.com / Sumber: mStar & Harian metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: