05 October 2017

PERSEMBAHAN TULAR - SASHA & ELITE RANCANG BUAT KEMUNCULAN SEMULA


"Memang terkejut juga apabila video persembahan kami itu tular di media sosial malah terharu apabila kami mengetahui Elite masih mempunyai peminat yang ramai.





"Budak-budak pun ada yang kenal Elite mungkin pengaruh daripada ibu-bapa mereka yang memasang lagu kami," ujar Sasha Saidin yang berkata semua anggota Elite terkejut apabila persembahan mereka baru-baru ini menjadi tular.

Untuk makluman, kumpulan Elite menyanyikan lagu 'Manisnya Senyumanmu' semasa persandingan kedua Norman Hakim dan Memey Suhaiza serta Abby Abadi dan Mohd Faizal Zakaria pada 24 September lalu.

Dalam pada itu, Sasha memberitahu bahawa yang beliau bersama anggota kumpulan itu merancang untuk membuat kemunculan semula.

Klik untuk gambar besar


"Saya pun sebenarnya sedang merancang untuk menyatukan kembali semua ahli Elite dan masing-masing bersetuju," katanya.

Tambah Sasha, beliau menyifatkan video itu menjadi tular kerana kesemua anggota Elite masih aktif dalam industri hiburan dan merindukan untuk melihat mereka beraksi sebagai sebuah kumpulan.

"Anda tidak boleh mengelak daripada kami... hahaha. Sebenarnya persembahan itu tidak dirancang pun dan kami naik ke pentas selepas mendapat permintaan daripada penganjur dan persetujuan Abby.

"Walaupun Abby tidak mahu lagi menyanyi tetapi dia sempoi melayan karenah kami dan kami memang seronok sangat.



"Sudah lama kami semua anggota asal tidak bersatu di atas sebuah pentas dan peminat rindu untuk melihat kami sejak sekian lama," tuturnya.

Sementara itu, Sasha berkata, dia sudah menerima tiga buah lagu daripada seorang komposer dan sedang berbincang dengan rakan-rakannya yang lain untuk memilih lagu sesuai.

Pun begitu kata Sasha, mereka tidak terburu-buru untuk melancarkan lagu terbaharu kerana paling penting mereka merancang strategi dengan betul agar kemunculan semula meninggalkan impak.



"Saya tidak mahu hanya sekadar lancarkan lagu baru dan lepas itu kami kembali buat hal masing-masing tetapi ingin buat bersungguh-sungguh termasuk mengadakan persembahan jelajah di seluruh Malaysia.

"Rindu sangat hendak berjumpa peminat dan mengadakan persembahan dan kalau boleh perancangan ini dirancang dengan teliti dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga," jelasnya.

Selain Sasha, Elite turut dianggotai oleh Abby Abadi, Azza, Watie Sadali dan Linda Rafar.

Sepanjang penglibatan mereka dalam industri muzik, Elite pernah menghasilkan empat buah album iaitu Catwalk (1996), Tamparan (1998), Idola (1999) dan Merbahaya (2000).


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: