05 October 2017

LANCAR MUZIK VIDEO 'I AM ME': "EJEKAN & PARODI BERI IDEA" - DATO SERI VIDA


Sebelum ini muzik video 'I Am Me' mencecah 9 juta tontonan di Youtube dan petang semalam usahawan kosmetik terkenal, Dato' Seri Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Dato' Seri Vida, 46, telah melancarkan muzik video bagi lagu tersebut.





Apa yang menarik, Dato' Seri Vida hadir dengan glamornya bersama sebuah kereta mewah Lamborghini berwarna merah jambu yang dipandunya sendiri di Pavilion dan sempat beramah mesra dengan peminatnya di sana.

Malah bukan itu sahaja, Vida yang datang dengan mengenakan baju tidur juga berwarna 'pink' sinonim dengan dirinya serta tiaranya turut disambut dengan kek bernilai RM26,000 yang sarat dihiasi dengan batu Swarovski.

Bukan hanya sarat dihiasi dengan batu Swarovski, kek berwarna merah jambu dan putih itu turut dihiasi dengan replika wang pelbagai negara selain patung dirinya di dalam tab mandi.

"Terima kasih kepada yang menghadiahkan kek ini dan ia melambangkan diri saya. Alhamdulillah muzik video lirik 'I Am Me' sebelum ini mencecah 9 juta tontonan dan berharap peminat akan menyukai muzik video terbaharu ini.

Klik untuk gambar besar


"Saya mencurahkan pelbagai idea untuk menghasilkan muzik video ini dengan bantuan Ghaz dan dia telah merialisasikannya dengan baik," jelasnya mengenai video klip lagunya yang dilancarkan semalam.

Ketika majlis pelancaran itu, Vida turut berkongsi mengenai muzik video terbaru 'I Am Me' yang menelan kos sebanyak RM1 juta dan dilakukan selama dua minggu di kediamannya sendiri di Ipoh, Perak.

Seperti lagu sebelum ini, pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu masih mengekalkan konsep lagu yang ranggi, glamor dan pastinya mewah seperti kehidupannya.

Dalam masa sama, Dato' Seri Vida turut berkata, dia mencari idea untuk konsep muzik video itu selama tiga minggu kerana ingin menampilkan kelainan daripada kebiasaan.



Kata Dato Seri Vida lagi, ejekan dan parodi mengenai lirik I Am Me sebagai 'ayam' telah memberinya idea untuk menggunakan bulu ayam sebagai kostum.

"Perkara yang orang parodi dan ejek itu sebenarnya beri saya idea dan saya sanggup ke Thailand dan Hong Kong untuk membeli perhiasan bulu ayam yang digunakan oleh penari sebagai pelengkap gaya.

"Ditambah dengan kepakaran Ghaz sebagai pengarah dia berjaya merialisasikan apa yang saya gambarkan menerusi muzik video ini.

"Saya memang cukup berpuas hati dengan apa dihasilkan Ghaz dan Insya-Allah jika ada peluang kami akan bekerjasama lagi," ujarnya.



Sementara itu, Dato' Seri Vida memberitahu yang dia bercadang untuk melelong barangan yang digunakan dalam muzik video itu seperti barang kemas, kostum dan beg tangan berjenama.

Tambah Dato' Seri Vida, hasil jualan daripada lelongan itu akan disalurkan ke tabung dana pembinaan sekolah tahfiz di Kelantan.

"Insya-Allah jika tiada halangan saya bercadang untuk lelongan barangan yang digunakan dalam muzik video itu pada hujung tahun ini.

"Ia dibuat bagi tujuan baik demi mengumpul dana pembinaan sebuah sekolah Tahfiz di Kelantan. Barang yang ingin saya jual itu bukan barang terpakai tetapi semuanya baru," tuturnya.










www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: