21 November 2017

DIMINTA BERHIJAB SELEPAS UMRAH: "DOA SUPAYA KEKUATAN ITU HADIR" - MARSHA


"Ramai yang meminta saya berhijab terutamanya di ruangan komen di akaun laman sosial saya," kata penyanyi dan pelakon Marsha Milan yang diminta oleh peminat untuk menutup aurat sepenuhnya selepas baru sahaja pulang dari menunaikan umrah.





Bagaimanapun, Marsha memberitahu, beliau masih lagi dalam proses untuk mendalami ilmu Islam dan memerlukan masa untuk berubah mengenakan hijab.

Pada masa sama, Marsha berharap agar orang ramai mendoakan beliau satu hari nanti mampu berbuat demikian.

"Ketika ini saya masih lagi dalam proses mendalami Islam dan mohon doa daripada semua supaya kekuatan itu hadir," tuturnya.

Bercerita mengenai pengalamannya menunaikan umrah, jelas anak kelahiran Sabah ini, beliau pada mulanya gementar tetapi banyak dibantu oleh suami dan ibu mentuanya.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Marsha mengakui yang beliau merasa cukup tenang apabila melihat Kaabah di depan matanya dan menjalani ibadah di sana.

"Suami tahu rasa gementar saya dan dia bantu. Ibu mentua juga banyak membantu sewaktu menjalankan ibadah umrah.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Malah, ketika saya berada di sana, fikiran memang tenang. Langsung tidak terfikir mengenai kerja," ujarnya.

Pelakon filem 'Jwanita' ini mengakui dia tidak pernah terfikir pun untuk melihat dari dekat apatah lagi memegang Kaabah dengan tangan sendiri kerana sebelum ini hanya melihat Kaabah di kaca televisyen.



Malah kata penyanyi 'lagu Ku Tinggalkan Cinta', rasa teruja itu menimbulkan kerinduan pada dirinya untuk kembali ke Mekah dan berdoa agar satu hari nanti beliau mempunyai rezeki lagi untuk kembali ke sana.

"Saya banyak berdoa ketika di sana. Doa supaya dikurniakan zuriat, diperluaskan rezeki terutamanya untuk suami dan orang di sekeliling.

"Saya juga berdoa supaya dapat diberikan peluang untuk kembali ke Mekah," jelasnya yang turut menggunakan khidmat ustazah sebagai saluran ilmu sebelum menunaikan umrah.

Marsha yang memeluk agama Islam pada hujung tahun 2015 itu baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah bersama suami dan keluarga mentuanya.














www.myartis.com / Sumber: Utusan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: