13 January 2018

ISU FARID KAMIL RINDU ANAK - IBU DIANA DANIELLE NAFI JADI PENGHALANG


"Saya sedih apabila keluar kenyataan mendakwa Farid merindui anak-anaknya. Kenyataan itu seolah-olah saya menjadi penghalang Farid bertemu anaknya sehingga menyebabkan dia tertekan," kata ibu kepada Diana Danielle iaitu Norsiah Ramli yang kecewa.





Tutur Norsiah, beliau tidak pernah melarang atau menghalang menantunya, Datuk Farid Kamil daripada bertemu Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2, yang juga tinggal bersamanya ketika pelakon berkenaan dan Diana keluar bekerja.

"Tiada sebab untuk saya berbuat demikian kerana mereka adalah darah dagingnya. Saya hanya memegang amanah menjaga cucu dan tidak pernah mencampuri urusan peribadi Farid serta Diana," jelasnya.

Norsiah berkata, Diana dan Farid tinggal di tingkat atas kediamannya di sebuah bangunan kondominium dan mereka bebas untuk menjenguk atau mengambil Muhammad dan Nur Aurora.

Klik untuk gambar besar


"Saya juga sering berulang-alik ke rumah mereka mengambil barang cucu. Ada juga saya bertemu Farid di rumahnya," ujar Norsiah yang mengakui terkejut mendapat tahu Farid tertekan kerana merindui dua anaknya itu.

Mengenai penahanan menantunya oleh polis, Norsiah menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

"Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan. Saya tidak mahu mencampuri urusan mereka," katanya.

Pagi semalam, Farid yang dipercayai menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, direman empat hari sehingga Isnin ini.



Perintah dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir terhadap pelakon berusia 37 tahun itu, bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Pelakon dan pengarah terbabit ditahan polis jam 1.20 tengah hari kelmarin selepas secara tiba-tiba dikatakan menampar muka petugas polis lelaki berusia 24 tahun sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Dia sebelum itu dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan satu kes kemalangan jalan raya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: