13 January 2018
SUAMI SEMAKIN STABIL SELEPAS KELUAR HOSPITAL - AMYZA RASA LEGA
Keadaan suami kepada pelakon Amyza Aznan iaitu Khairil Izhar Mohd Nazir yang kena serangan jantung itu kini semakin stabil selepas dibenarkan keluar dari hospital minggu lalu.
Amyza yang meluahkan rasa lega itu bagaimanapun memberitahu keadaan suaminya masih perlu dipantau terutama membabitkan jadual makan ubat dan menjaga pemakanannya.
"Selepas menjalani rawatan, doktor mengesyaki jantung Khairil tersumbat. Dia juga menghidap darah tinggi. Selain itu doktor turut mengeluarkan sejumlah air dari dalam paru-parunya.
"Sepatutnya Khairil perlu menjalani rawatan angioplasti, tetapi saya berasakan ada baiknya rawatan itu dilakukan kemudian andai situasi semakin teruk.
"Setakat ini keadaan Khairil masih stabil dan saya memantaunya dengan memastikan dia makan ubat diberikan doktor," katanya.
Klik untuk gambar besar
Jelas Amyza lagi, dia akui apabila pihak hospital beritahu suaminya datang bersendirian untuk mendapatkan rawatan ia adalah detik paling mencemaskan.
Bukan itu saja sepanjang tempoh Khairil ditahan di wad, ia adalah dugaan paling besar dalam hidupnya. Tambahan pula tegas Amyza sepanjang 13 tahun mereka berkahwin dia banyak bergantung dengan suaminya.
"Dugaan datang tanpa diduga. Bayangkan selama seminggu Khairil mendapatkan rawatan di hospital, saya perlu melangsaikan penggambaran di dua lokasi drama iaitu 'Monalisa' dan sitcom 'Mamu Mami Gosip'.
"Anak pula tidak ada orang yang jaga kerana saya tiada pembantu rumah. Sejak menimang cahaya mata pertama, kami bersama-sama menjaga dan membesarkan anak.
"Allah SWT itu Maha Adil. Berdepan dengan dugaan tetapi Dia permudahkan segala urusan saya. Pada waktu sama ibu saya yang kurang sihat sanggup datang ke rumah menjaga cucunya," ujarnya.
Jelas Amyza lagi, ibunya baru saja menjalani pembedahan di kepala kerana penyakit darah tinggi. Bagaimanapun, kekuatan dan semangat ibunya turut menjadikannya kuat.
"Orang nampak mudah, tetapi sebenarnya kekuatan kena datang daripada kita sendiri. Kalau saya tak mampu menghadapinya, bayangkan keadaan suami di hospital.
"Celik mata, saya kena uruskan anak. Kemudian ke lokasi penggambaran dan pergi ke hospital menguruskan suami pula.
"Selain keluarga, kawan-kawan dan doa peminat menerusi Instagram menjadi sumber kekuatan saya. Saya juga lega kerana setiap hari melawat suami di hospital, dia semakin sihat dan menyambut kedatangan saya dengan senyuman," tuturnya.
Menurut Amyza lagi, walaupun Khairil sudah nampak sihat, pergerakannya agak perlahan.
"Saya ikut saja apa yang doktor suruh buat sementara menunggu jadual untuk pemeriksaan seterusnya," jelasnya.
Kata Amyza lagi, dia memang 'terasa' apabila suaminya terpaksa dirawat di hospital kerana selama 13 tahun dia memang bergantung penuh pada Khairil.
"Segala urusan dilakukan suami termasuklah membayar segala bil, sehinggakan kad ATM saya, suami yang pegang kerana sepanjang kami berkahwin memang urusan rumah tangga dia banyak membantu," katanya.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment