26 January 2018

ISU KECEDERAAN FARID: "SAYA PUNYAI SEGALA BUKTI & GAMBAR" - PENERBIT 'LKC'


"Saya mengalu-alukan sekiranya Farid ingin menyaman produksi, yang kononnya menyebabkan beliau tercedera ketika penggambaran. Saya mempunyai segala bukti dan gambar serta bersedia untuk menegakkan kebenaran di mahkamah.





"Farid mengadu kaki kanannya bernanah kerana air kotor yang digunakan untuk babak dalam drama pada 26 November lalu. Sebenarnya, saya guna khidmat bomba Wangsa Maju dan air diambil adalah air terjun, bukan air kotor seperti didakwa.

"Kenapa hanya kaki kanannya bernanah, sedangkan satu badan terkena hujan palsu yang dibuat itu? Saya dimaklumkan, kaki kanan Farid sudah mengalami gatal-gatal sebelum itu lagi.

"Jika benar dia ingin saman saya, saya pun ingin menuntut kerugian kerana masalah yang ditimbulkan olehnya," kata penulis novel dan penerbit drama 'Lafazkan Kalimah Cintamu' (LKC), Siti Rosmizah Semail yang tampil mendakwa pelakon Datuk Farid Kamil sebenarnya melanggar beberapa syarat ketika penggambaran drama tersebut.

Klik untuk gambar besar


Siti Rosmizah yang juga penerbit bersama drama rantaian '7 Hari Mencintaku', berkata aktor berkenaan sudah menghantar beberapa tuntutan kepada pihak peguamnya.

"Selain isu air kotor yang dibangkitkan, saya juga menerima tuntutan daripada peguam Farid yang mendakwa anak guamnya diminta membuat aksi lasak membahayakan nyawa ketika penggambaran LKC.

"Sebenarnya tilam disediakan untuk adegan yang memerlukan Farid jatuh, jadi bagaimana pula boleh membahayakan nyawa? Mungkin saya baru lagi sebagai penerbit, namun saya guna dua pengarah yang sudah lama berkecimpung dalam bidang pengarahan.

"Saya tidak mahu memanjangkan isu ini dengan terus membuat kenyataan balas. Jika benar Farid ingin saman, saya sudah bersedia. Saya mempunyai latar belakang sebagai peguam, jadi saya sudah mengumpul segala bukti yang ada," jelasnya.



Baru-baru ini, perkongsian Farid yang memuatnaik gambar beliau memegang laporan polis menimbulkan pelbagai spekulasi.

Ada yang mengatakan ia berkaitan dengan masalah rumah tangganya dan ada juga yang melaporkan ia adalah tindakan bela diri Farid terhadap satu pihak produksi drama yang membuatkan dirinya tercedera dan mengalami sakit teruk sehingga merasa tertekan ketika penggambaran.

Terdahulu, Farid meluahkan rasa kesal dengan kecuaian pihak produksi yang didakwa menggunakan air kotor dan mengandungi toksin sehingga kakinya sakit, lebam-lebam dan mengalami gatal-gatal sehari selepas menjayakan babak hujan.

Farid terpaksa menahan sakit selama 10 hari dan sukar untuk berjalan ataupun memakai seluar.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: