10 January 2018
LEBIH 1/2 TAHUN MENYEPI - AIDIL AZIZ KEMBALI GILAP SEMULA KARIER LAKONAN
Pernah melalui detik hitam dimana dirinya telah ditahan untuk siasatan bersama dua orang lagi rakannya selepas didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 456 gram dan memiliki senjata berbahaya.
Pelakon Aidil Aziz yang terlepas hukuman tali gantung serta dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM4,000 sekitar akhir tahun lalu itu kini kembali aktif menggilap semula karier lakonannya setelah lebih setengah tahun menyepi.
Kata Aidil, dia menyifatkan tahun 2018 sebuah permulaan baharu bagi memperjudikan semula nasib sebagai pelakon, sekali gus mempersiapkan diri dengan perancangan masa depan perniagaan mangga asam boi menerusi 'King Mangifera'.
Pemilik nama lengkap, Mohd. Aidil Abd. Aziz itu juga ingin menimba pengalaman baharu dengan menyertai sitkom pertama terbitan FS Creative Sdn. Bhd., 'Mamu Mami Gosip'.
Biarpun tidak memiliki banyak pengalaman menjayakan naskhah berbentuk komedi, Aidil tidak menjadikan ia sebagai kekangan untuk menggilap bakat dan meneruskan survival bergelar anak seni.
Klik untuk gambar besar
"Saya baharu sahaja selesai penggambaran drama rantaian bertajuk 'Cinta Lima Madu' dan pertama kali terlibat menjayakan sitkom 'Mamu Mami Gosip' terbitan FS Creative Sdn. Bhd. iaitu produksi milik pelakon Fasha Sandha.
"Awalnya saya berasa agak gementar kerana tidak mahir dengan karya komedi. Secara kebetulan, drama rantaian 'Cinta Lima Madu' itu juga merupakan naskhah komedi.
"Justeru, apabila mendapat tawaran menjayakan sitkom ini saya tidak berfikir panjang dan berusaha menjayakannya.
"Tidak dinafikan agak kepenatan tetapi syukur pihak produksi memberi saya peluang apabila watak yang dilakonkan iaitu Cikgu Adi dikembangkan.
"Pada awalnya, saya hanya muncul dalam 10 episod tetapi setelah mempamerkan prestasi baik, watak Cikgu Adi dikembangkan menjadi 15 episod.
"Ia suatu perkara yang membanggakan dan saya tidak menyangka akan diberi peluang sebegitu," katanya ketika diminta ceritakan pengalaman pertamanya berlakon komedi.
Dalam pada itu, Aidil tidak menafikan sekiranya memilih untuk lebih banyak terlibat dalam naskhah berbentuk komedi.
"Tidak dinafikan sekiranya kerap membawakan karakter sama, khalayak tentunya ingin melihat saya sentiasa membawakan watak sebegitu.
"Namun, apa yang ingin saya ditonjolkan adalah kemampuan melakonkan pelbagai watak tidak mengira melodrama mahupun komedi. Hampir 10 tahun berkecimpung dalam industri, rasanya telah tiba masa untuk saya melakukan perubahan.
"Saya juga mahu menimba pengalaman baharu dan meyakinkan penggiat seni serta penonton bahawa saya seorang pelakon versatil yang mampu membawa pelbagai karakter.
"Sebagai pelakon, saya tidak boleh terlalu gembira berada di zon selesa. Disebabkan itu, peluang menjayakan sitkom ini tidak dilepaskan kerana ia pengalaman berbeza dan perkara baharu dalam kerjaya," ujarnya.
Kini telah memasuki tahun baru 2018, Aidil memberitahu yang dia mengharapkan perkara yang baik pada masa hadapan.
"Bagi kerjaya seni, saya berharap diberi lebih banyak peluang lakonan dan mencuba pelbagai karakter baharu.
"Selain itu, saya sedang berusaha untuk mengembangkan perniagaan mangga asam boi atas talian sejak April tahun lalu, 'King Mangifera'.
"Terima kasih kepada rakan kongsi, Ayie yang banyak membantu. Kesibukan jadual lakonan membuatkan saya kurang memberi tumpuan kepada perniagaan.
"Disebabkan itu, pada tahun ini saya mengharapkan dapat seimbangkan lakonan dan perniagaan. Pada saya, lakonan itu penting kerana ia bukan sahaja menjadi sumber pendapatan tetapi turut menjadi medium pemasaran," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: Kosmo
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment