05 January 2018

"SIAPA MENCEROBOHI 'WILAYAH' SIAPA" - IQRAM DINZLY


Meskipun berasa tersinggung dengan netizen yang menuduhnya tidak waras sehingga memanggilnya 'orang gila', pelakon Iqram Dinzly bagaimanapun enggan mengambil serius terhadap perkara tersebut apatah lagi menghentikan rutin memuat live video di Instagram.





Kata Iqram, jika benar khalayak prihatin terhadap tahap kesihatannya, tidak perlu ditegur atau mengeluarkan kata-kata kesat di media sosial.

Iqram meminta individu yang bersuara lantang di media sosial bertemu sendiri dan meluahkan pandangan terhadapnya secara bersemuka.

"Tidak perlu ingin tunjuk berani di media sosial. Sekiranya mereka bimbang dan prihatin, datang menziarahi saya sekeluarga dan luahkan segala nasihat kalian.

Klik untuk gambar besar


"Kalian hanya berani melontarkan kata-kata menggunakan papan kekunci namun untuk datang sendiri, saya yakin kalian tidak akan berbuat demikian.

"Saya tidak pernah mengganggu hidup orang. Apa yang dipaparkan menerusi live video berlaku di platform alam maya dan ia terpulang kepada penerimaan masyarakat jika mahu menuduh saya gila," jelasnya.

Baru-baru ini, Iqram ada melakukan live video dengan menulis kalimah Allah pada dahinya yang secara tidak langsung menimbulkan kemarahan kalangan pengguna media sosial.

Kejadian tersebut juga mengundang lebih banyak kutukan terhadapnya. Dia dikecam sebagai tidak sensitif, bahkan menghina agama Islam.



Ditanya mengenai perkara itu, Iqram memberitahu yang dia ada alasan tersendiri dan tindakan tersebut merupakan ekspresi pandangan dan sindirannya kepada khalayak.

Meskipun mengundang kritikan sehingga terpaksa makan hati dan marah dengan situasi tersebut, Iqram bagaimanapun tetap menjadikan media sosial sebagai platform buatnya meluahkan pandangan tentang setiap yang berlaku di sekelilingnya.

"Tidak menjadi masalah sekiranya khalayak berasa marah kerana setiap kenyataan mereka akan saya balas dengan sindiran. Sekiranya mereka berasa tersinggung, saya ingin soal semula, siapa mencerobohi 'wilayah' siapa?



"Sekiranya mereka terkesan dengan kenyataan sebegitu, jadi bagaimana dengan perasaan saya yang diperlakukan sedemikian.

"Kelihatan mudah mengeluarkan kata-kata kesat kepada individu lain, tetapi sekiranya berlaku ke batang hidung sendiri, bagaimana rasanya," ujarnya.

Menafikan dirinya sebagai pemburu perhatian dan sikap ingin menimbulkan minat dalam khalayak memperkatakannya, Iqram mengakui dia masih waras.

Iqram berkata dia hanya menjadikan media sosial sebagai platform untuknya meluahkan pandangan terhadap kejadian berlaku di persekitarannya.




www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: