22 February 2018

CERITA KENA SEBAT - AMENG SPRING NAFI TOKOK TAMBAH


"Apa yang saya ceritakan dalam ceramah motivasi itu adalah benar dan tidak ditokok tambah. Saya dikenakan hukuman 10 sebatan dan setiap satu dilakukan secara berterusan tanpa henti.





"Tiada doktor yang membuat pemeriksaan dan memang tak ada ubat yang diberikan. Mereka yang menuduh saya sengaja memperbesarkan cerita itulah yang sebenarnya menipu.

"Penjara itu lebih teruk daripada apa yang orang ramai di luar sana bayangkan," kata vokalis kumpulan Spring, Ameng yang menegaskan isi kandungan ceramah motivasi yang menyentuh pengalaman beliau dikenakan hukuman rotan, seperti sering disampaikannya, adalah benar dan tidak ditokok tambah.

Menurut Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 52, sebagai bekas banduan yang melalui sendiri pengalaman menggerunkan itu, beliau perlu berkongsi cerita sebenar supaya masyarakat sedar dan berasa takut untuk melakukan kesalahan.

"Saya tak berbohong ketika berkongsi pengalaman berada dalam penjara. Malah, apa yang saya cerita mengenai hukuman sebatan sebanyak 10 kali tanpa sebarang bantuan perubatan adalah benar.

Klik untuk gambar besar


"Jujur saya mengakui kehidupan di penjara tidak seindah seperti digambarkan dan semuanya penuh kegelapan dan menakutkan.

"Buat apa saya hendak berbohong kerana saya pernah melalui pengalaman itu dan masyarakat di luar sana tak tahu kehidupan sebenar sebagai banduan," bekas peserta Gegar Vaganza musim ke 3 (GV 3) itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media 'Konsert Spring' semalam.

Konsert istimewa yang bakal diadakan di Restoran Terapung D'Saji Titiwangsa Kuala Lumpur pada 9 Mac depan itu julung kali mempertemukan kembali anggota kumpulan yang cukup popular dengan lagu 'Butakah Cinta' ini.

Ditanya tidakkah beliau gusar jika cerita disampaikannya itu melanggar etika kerana mendedahkan perkara yang dianggap sulit dan peribadi, penyanyi berasal dari Terengganu ini berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana beliau sudah pun mendapat kebenaran daripada pihak terbabit.



"Ketika dibebaskan, saya ada meminta keizinan daripada pegawai penjara untuk berkongsi pengalaman saya di luar dan mereka membenarkan saya berbuat demikian.

"Malah, mereka juga memberikan kebebasan untuk saya bercerita apa saja, asalkan ia mampu memberi kesedaran dan membuatkan masyarakat takut untuk masuk penjara," tegasnya.

Pada 2011, penyanyi ini dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dengan 10 sebatan apabila didapati bersalah dalam kes penyalahgunaan dadah.

Selepas mendapat pengampunan kerana berkelakuan baik, Ameng dibebaskan pada 14 Jun 2016, kira-kira tiga tahun lebih awal daripada tempoh hukuman sepatutnya.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: