28 February 2018

MUFTI NASIHAT BERTAUBAT - NEELOFA MASIH PERTAHANKAN TINDAKANNYA


Nampaknya tindakan pelakon dan pengacara Noor Neelofa mengadakan majlis pelancaran tudung di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu negara, malam kelmarin, telah mendapat perhatian Mufti.





Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam dilarang mendekati tempat maksiat dan hukumnya sudah jatuh haram jika tempat berkenaan terdapat unsur melanggar syarak.

"Neelofa perlu bertaubat. Sekiranya ada unsur berkenaan, Neelofa perlu bertaubat dan jangan ulang lagi," katanya.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad pula menyifatkan tindakan Neelofa itu salah kerana bersubahat melakukan perkara berunsur maksiat.

Klik untuk gambar besar


"Perbuatan itu haram kerana gerak-geri perempuan ditontonkan kepada lelaki bukan mahram. Apapun alasan diberikan, saya tetap menganggap ia salah kerana pusat hiburan menjual minuman keras dan memabukkan. Buatlah sesuatu yang baik dengan cara dan jalan yang betul," ujarnya.

Mohd Yusof berkata, Neelofa perlu muhasabah diri dan mengambil iktibar daripada tindakan yang dilakukannya itu.

"Mohon ampun kepada Allah serta berazam tidak mengulanginya lagi. Bagi kepentingan perniagaannya elok dia mohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan perbuatannya itu," tuturnya.

Sementara itu, dalam kenyataan terbaru yang diberikan menerusi program MeleTOP malam semalam, Neelofa masih mempertahankan tindakan beliau menganjurkan majlis pelancaran koleksi tudung terbarunya di pusat hiburan terkemuka, Zouk.



Neelofa yang dihubungi MeleTOP menerusi panggilan telefon berkata yang bahagian dalam pusat hiburan itu sudah ditukar supaya bersesuaian dengan majlis itu.

"Memang tidak ada sebotol pun minuman beralkohol yang orang boleh nampak. Malah, tidak ada juga orang menghisap rokok ketika majlis itu berlangsung”

"Siapa yang tak datang saja yang kecoh, tetapi orang yang ada di situ (pusat hiburan) tahu apa yang berlaku," katanya kepada hos Nabil Ahmad dan Sherry Al Hadad.



Dalam pada itu, Profesor Institut Pengurusan Fatwa Sedunia Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, nama kelab malam itu tidak salah jika tiada sebarang unsur bertentangan syarak.

"Jika tiada arak, tidak membuka aurat dan tiada pergaulan bebas, tiada masalah walau di mana pun pelancaran tudung itu diadakan.

"Yang penting adalah pengisian di kelab itu, jika lancar tudung di rumah tetapi melanggar hukum syarak pun tidak boleh.

"Jika di pihak Neelofa sendiri mengatakan tiada arak, kita tidak boleh mengandaikan ada benda terlarang itu," jelasnya.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: