22 February 2018

"TAKUT ISTERI BERSALIN AWAL KETIKA SAYA DI JAKARTA" - LAN SOLO


Dalam sibuk menjalani penggambaran program 'ExpeRIAnce #ProjekThemePark2018' bersama peminat bertuah di Jakarta, Indonesia, penyanyi Lan Solo memberitahu dia risau dengan keadaan isterinya, Nur Sheila Hassim yang kini sedang sarat hamil.





Lan atau nama penuhnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, bagaimanapun berkata beliau sudah membuat segala persiapan yang dirasakan perlu bagi memudahkan isterinya segera ke hospital apabila tiba masanya nanti.

"Isteri saya sepatutnya dijangka bersalin pada bulan Mac nanti. Selepas dia mengalami kebocoran air ketuban pada minggu ke-27 kehamilan, doktor menjangkakan dia bakal bersalin awal. Menurut doktor, bila-bila masa sahaja.

"Kini dia sedang berehat di rumah. Saya agak risau dengan keadaannya. Saya takut dia bersalin awal ketika saya berada di Jakarta.

Klik untuk gambar besar


"Namun begitu, sebelum saya ke Jakarta, semua kelengkapan untuk dia bersalin telah disiapkan dan urusan berkenaan dengan tempahan hospital juga telah dibuat.

"Memandangkan persetujuan untuk menjalani penggambaran program ini sudah lama dilakukan, saya perlu juga melaksanakan tugasan terbabit.

"Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, saya sudah menyiapkan beg isteri dan minyak kereta, selain mengisi kad Touch 'n Go. Isteri kini tinggal di rumah ibunya.

"Begitupun, sebelum meninggalkannya, Ahad lalu, saya sempat mengusap perut isteri dan bercakap dengan anak kami supaya bertahan sehinggalah saya kembali ke tanah air, malam esok," kata pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 4 (GV4).



Dalam pada itu, menurut Lan, isterinya juga diminta mengawal pergerakan agar dapat bersalin mengikut masa yang tepat, iaitu ketika kandungan berusia 40 minggu.

Untuk makluman, isteri Lan pernah berdepan masalah air ketuban bocor sehingga dimasukkan ke hospital, Disember lalu.

"Sementara nak tunggu bersalin, isteri memang perlu mengurangkan pergerakannya. Hendak melangkah naik dan turun kereta pun hanya sekali sehari. Dia juga tidak dibenarkan menaiki tangga.



"Sebagai suami, saya perlu mengingatkannya untuk makan ubat setiap hari dan mengawal pergerakannya. Biasalah, ada masanya dia terlupa.

"Walaupun berada di Jakarta, saya tetap memantau dari jauh," ujarnya yang bakal menimang cahaya mata keempat.

Dalam perkembangan lain, bekas vokalis kumpulan 'Kristal' itu kini berusaha menyiapkan single terbaru yang juga ciptaan dirinya sendiri, 'Berpisah Tanpa Rela'.

Ia menjadi lagu solo pertama penyanyi terbabit selepas keluar daripada kumpulan Kristal, tahun lalu.














www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: