16 March 2018

'BOCEY & FRIENDS LIVE' BAKAL TEMUI PENONTON 23 MAC INI


Semua mengetahui bahawa Bocey adalah satu-satunya kumpulan pelawak yang berjaya menjulang takhta juara Maharaja Lawak Mega sebanyak dua kali.





Terkini, Bocey yang diketuai Fad, Achey dan Abam ini akan muncul dengan sebuah program berkonsepkan persembahan komedi, 'Bocey & Friends Live'.

Persembahan komedi 'Bocey & Friends Live' akan mula dipancarkan secara langsung pada setiap hari Jumaat mulai 23 Mac 2018 jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan siaran serentak di Warna HD (saluran 124). Program ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Untuk info, 'Bocey & Friends Live' merupakan sebuah program yang mengetengahkan elemen lakonan serta nyanyian. Dua buah persembahan komedi yang berbeza akan dipentaskan secara langsung dalam tempoh satu jam berdasarkan topik mingguan yang telah ditetapkan.

Bagi memeriahkan persembahan dalam 'Bocey & Friends Live', Bocey akan disertai oleh rakan seperjuangan mereka yang pernah bersama-sama menjayakan program Maharaja Lawak Mega seperti Shiro, Zero, Puteh dan ramai lagi serta selebriti undangan yang bukan daripada kalangan pelawak.

Klik untuk gambar besar


Menariknya, identiti selebriti undangan setiap minggu hanya akan didedahkan kepada Bocey dan juga penonton semasa persembahan komedi sedang berlangsung, demi menyuntik elemen kejutan dalam setiap persembahan mingguan mereka.

Topik-topik yang diketengahkan dalam 'Bocey & Friends Live' merupakan topik yang dekat dengan kehidupan harian rakyat Malaysia seperti isu kekeluargaan, isu suami isteri, kes buli, kisah kenduri kendara, isu di pejabat dan pelbagai lagi.

Uniknya lagi, pelakon mantap, Nasir Bilal Khan bertindak sebagai 'Tukang Buka Panggung' di mana aktor senior ini akan membuat penampilan di pentas sebelum bermulanya persembahan.

Beliau akan memberi pengenalan mengenai topik persembahan yang akan dipersembahkan, manakala di penghujung persembahan pula, beliau akan merumuskan mesej atau nilai-nilai positif yang terkandung dalam persembahan tersebut.



Persembahan komedi 'Bocey & Friends Live' akan diiringi oleh barisan pemuzik di bawah pimpinan Pengarah Muzik tersohor dan cukup berpengalaman, Dato’ Ramli MS.

Jika sebelum ini, kita selalu lihat sisi serius Dato' Ramli MS ketika menduduki kerusi juri, kini secara ekslusif dalam 'Bocey & Friends Live', beliau akan turut tampil dengan 'wajah dan karakter' yang cukup berbeza.

Kejayaan program 'Bocey & Friends' yang pernah diterbitkan pada tahun 2016, mencatatkan rating paling tinggi telah mendorong pihak Astro Warna untuk menerbitkan 'Bocey & Friends Live' dan kali ini, pihaknya menyuntik sedikit kelainan dengan menyiarkannya secara langsung dalam durasi yang lebih panjang.

Sebelum ini kemunculan Bocey dipentas bersama pelawak yang lain sering dilihat sebagai pesaing antara satu sama lain terutamanya dalam program berbentuk pertandingan



Tetapi di pentas 'Bocey & Friends Live', penonton dapat menyaksikan keakraban serta keserasian mereka sebagai sahabat menerusi persembahan komedi yang dipentaskan disamping menghayati mesej yang diselitkan dalam setiap persembahan mereka.

'Bocey & Friends Live' ini sebagai hadiah istimewa untuk peminat mereka. Pelbagai kejutan dalam slot-slot istimewa yang sudah pasti akan membuatkan penonton terhibur dan tidak kering gusi.

"Kami turut lihat, kejayaan demi kejayaan yang dicapai Bocey wajar diraikan. Mereka kini berada di kelasnya yang tersendiri dan ini semua berkat sokongan dan doa daripada para peminat.

"Kami umpamakan program 'Bocey & Friends Live' ini sebagai hadiah istimewa untuk peminat mereka. Kami telah susun pelbagai kejutan dalam slot-slot istimewa yang sudah pasti akan membuatkan penonton terhibur dan tidak kering gusi," kata Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Warna.


www.myartis.com

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: