09 March 2018
PENGHARGAAN BUAT PEMINAT - NABIL BAWA TUNAI UMRAH
Pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad, 35, yang sedekad bergelumang dalam dunia seni memberiathu tiada cara lebih baik untuk menghargai peminat selain mengajak mereka menunaikan umrah, Ramadan depan.
Bakal dipaparkan dalam program 'My Umrah Story', Nabil yang turut bergelar seorang pelakon itu menganggap peluang mengerjakan ibadat itu bersama peminat pada bulan puasa sebagai cukup istimewa.
"Umrah adalah jalan terbaik untuk merealisasikan impian semua orang. Ini adalah peluang kepada mereka yang mahukannya. Kali pertama saya beri hadiah istimewa ini kepada peminat sejak jadi anak seni.
"Saya pilih untuk berpuasa bersama peminat di Tanah Suci. Ini tanda penghargaan buat peminat dan saya mahu berkongsi pengalaman yang diperoleh di sana dengan mereka," katanya.
Klik untuk gambar besar
Nabil berkata, butiran lanjut mengenai program umrah bersama peminat itu akan diumumkan pada majlis meraikan sedekad dirinya dalam dunia hiburan pada 24 Mac depan.
"Soal sama ada peminat bakal mendapat tiket percuma atau ada kos yang perlu ditanggung, saya akan umumkan pada 24 Mac depan.
"Apa yang penting, jatuh dan bangun saya, peminat tetap bersama. Banyak yang dipelajari mengenai soal menghargai insan lain apabila menempuh detik sukar," katanya yang turut menyediakan ganjaran lain buat peminatnya selain pakej umrah.
Mengimbau kenangan menjadi anak seni, bekas penghantar barang ini berkata, biarpun sudah mencapai kejayaan dalam karier, beliau tidak pernah lupa asal-usulnya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kehidupan sekarang lebih baik daripada dulu. Saya mampu memiliki apa yang saya mahu.
"Dulu gaji saya antara RM500 ke RM600, saya serah kepada emak dan tinggal RM50 dalam dompet. Malah, saya pernah rasa bagaimana duit tinggal RM5.
"Kenangan itu yang menjadikan saya kuat dan tidak lupa siapa yang membantu dan pernah susah bersama saya dulu. Mereka ini saya masih ingat dan berkawan baik sampai sekarang," ujarnya.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment