04 March 2018
SAERAH HARAP PERKAHWINAN KALI KEDUA BAHAGIA & KEKAL
"Banyak saya belajar daripada perkahwinan terdahulu. Saya tidak mahu menjadikan apa yang pernah berlaku dalam hidup sebagai satu penyesalan.
"Tidak adil jika menjadikan perceraian sebagai alasan untuk saya bersedih sekali gus enggan berganjak daripada kisah duka. Jadi, apabila ambil keputusan untuk berkahwin sekali lagi, saya anggap ini jodoh.
"Sama macam orang lain, saya berharap perkahwinan kedua ini diberikan kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke jannah.
"Saya juga berdoa agar perjalanan rumah tangga kali ini dipermudahkan dan mendapat keberkatan Allah," kata penyanyi Siti Saerah, 34, yang selamat bernikah dengan lelaki pilihannya, Mohd Sharidan Johari, 31, pada 24 Februari lalu selepas bercerai lima tahun lalu.
Adik kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata kegagalan perkahwinan pertama bukan penamat untuk mencari kebahagiaan kerana percaya jodoh dan pertemuan sudah ditetapkan Allah.
Klik untuk gambar besar
Malah, Saerah juga ingin menjadi wanita terbahagia seperti kebanyakan pasangan suami isteri lain yang melayari bahtera rumah tangga dengan limpahan kasih sayang.
Saerah yang juga ibu kepada tiga anak akui kembali menggalas tugas sebagai isteri bukan tanggungjawab mudah.
Pengalaman terdahulu dijadikan kayu ukur untuk Saerah menjadi insan lebih baik agar perkahwinan kali ini berlangsung dengan penuh harmoni.
"Apabila ingin berkahwin, ia bererti saya sudah bersedia mengharungi cabaran alam berumah tangga. Cuma, sudah semestinya untuk kali ini saya mengharapkan ia jadi lebih baik daripada yang sebelumnya.
"Saya cuba perbaiki diri sebagai isteri dan ibu. Malah, saya dan suami akan menjaga ikatan ini hingga ke akhir nyawa, insya-Allah.
"Orang kata, mulakan hidup dan buka buku baru dalam rumah tangga. Terima kasih kepada ibu, keluarga dan rakan atas sokongan serta doa,” katanya.
Ditanya mengenai bulan madu dan anak, Saerah yang pernah muncul dengan lagu 'Hero Wayang' belum mempunyai sebarang perancangan.
"Untuk bulan madu, saya dan suami belum ada perancangan lagi. Soal anak pula, saya menyerahkannya kepada rezeki. Namun, buat masa sekarang saya ingin fokus kepada kerjaya nyanyian.
"Apapun, saya tidak menolak jika dikurniakan anak dalam tempoh terdekat ini. Saya anggap ia rezeki. Siapa yang tidak seronok jika dikurniakan cahaya mata,' ujarnya yang kini muncul dengan single 'Hanya Restu'.
Berkongsi mengenai suaminya, Saerah berkata, mereka sudah berkenalan pada 2009 dan mula serius sejak dua tahun lalu.
"Kami jumpa semula dua tahun lalu. Dia masih bujang dan bekerja di sektor kerajaan di Muar, Johor. Dia tahu status saya sebagai ibu tunggal.
"Pada awalnya risau juga nak berkawan kerana takut dia tidak boleh terima anak-anak saya. Sebaliknya, dia mudah mesra dan anak pun rapat dengan dia. Bagi saya, apa yang penting dia boleh terima saya dan anak," tuturnya.
Hasil perkahwinan terdahulu, Saerah dikurniakan tiga orang anak bernama Ummi Umairah, 7, Ahmad Daiyan, 6, dan Ahmad Aisy, 5.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment