24 April 2018

ANAK DIEJEK BIBIR SUMBING: "BIARKAN SAHAJA" - LAN SOLO


Semua sedia maklum mengenai keadaan anak keempat penyanyi Lan Solo, Nur Amna Quxandra yang mempunyai masalah bibir sumbing.





Bekas vokalis kumpulan Kristal itu mendedahkan anak perempuan turut menjadi mangsa buli siber apabila ada segelintir pengikutnya di Instagram mengejek masalah sumbing bayi itu.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata walaupun perkara itu tidak patut dilakukan namun dia mengambil pendekatan untuk membiarkannya kerana hanya segelintir sahaja yang melemparkan kata-kata kurang enak tersebut.

"Memang ada yang mengejek anak saya tapi apabila saya semak profil mereka saya dapati individu yang komen itu masih budak sekolah.

Klik untuk gambar besar


"Jadi saya biarkan sahaja kerana menganggap mereka masih belum matang tambahan pula hanya sedikit sahaja yang melemparkan kata-kata tidak elok," katanya.

Dalam pada itu, Lan memberitahu tindakannya berkongsi mengenai Quxandra di Instagram mendapat pujian pengikutnya yang menyifatkan tindakan itu membuka mata mengenai masalah sumbing dalam kalangan bayi yang baru dilahirkan.

Malah kata Lan, ramai pengikutnya yang melalui masalah sama berkongsi pengalaman dan pelbagai panduan dengannya.

"Ramai puji apabila saya sering berkongsi tentang Quxandra mungkin kerana sebelum ini ada yang malu untuk bercakap mengenainya.



"Apabila ramai beri sokongan dan berkongsi cerita saya dan isteri pun jadi lebih tenang malah ada persatuan untuk kanak-kanak yang mengalami masalah sumbing.

"Mereka juga banyak bantu saya terutama hal-hal berkaitan pembedahan anak saya nanti," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single solo pertamanya yang berjudul 'Berpisah Tanpa Rela'.

Bercakap mengenai perkembangan Quxandra, Lan berkata, anaknya itu dijadualkan menjalani pembedahan bagi mencantum bahagian sumbing pada 31 Mei depan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kata Lan, doktor memberitahu anaknya tidak perlu menunggu sehingga berat badannya mencecah lima kilogram untuk pembedahan kerana masalah sumbing dialaminya tidak serius.



"Selepas pemeriksaan dilakukan baru-baru ini sumbing anak saya hanya terpisah di bahagian bibir dan keadaannya juga tidak serius.

"Doktor beritahu dia sesuai untuk jalani pembedahan tanpa perlu menunggu berat badannya naik cuma seminggu sebelum pembedahan dia tidak boleh demam dan keadaannya perlu sihat," jelasnya.

Isteri Lan, Nur Sheila Hassim melahirkan bayi keempat mereka pada 24 Februari lalu di Pusat Perubatan Rampai Puteri, Kuala Lumpur. Lan dan Sheila, 32, berkahwin pada 6 Disember 2009.

Selain Quxandra mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: