16 April 2018
HUBUNGAN ZAHIRAH & ZUL - ZAINOL MACWILSON LEGA PUTUS
"Alhamdulilah, saya lega apabila Zahirah maklumkan dia sudah putus dengan Zul. Selama ini ada sebab kenapa saya tidak restu hubungan mereka. Dari awal lagi saya memang tidak suka mereka berkawan.
"Malah, ketika saya masih bersama mak Zahirah, dia ada beritahu yang Zul tidak hormat orang tua. Hari pertama jumpa dia sudah berikan persepsi negatif.
"Ternyata, orang sekeliling juga banyak menyampaikan perkara sama hingga saya juga terkena. Jadi, alasan saya tidak restu hubungan mereka ada asasnya. Saya bukan suka-suka berbuat sedemikian.
"Jadi, apabila Zahirah maklumkan perkara ini, saya berkata baguslah. Saya nasihat agar dia fokus kepada kerjaya dan jaga nama sebaiknya.
"Paling penting, jangan mudah tergoda lagi dengan sesiapa pun," kata pelakon dan juga bekas pembaca berita TV3, Zainol Macwilson, 60, yang lega apabila hubungan percintaan anak gadisnya, Zahirah Macwilson dengan Zul Ariffin, 31, telah terputus.
Klik untuk gambar besar
Zainol mendakwa dia tidak merestui perhubungan mereka dan mempunyai sebab-sebab tersendiri tidak menyokong perhubungan itu.
Tambah Zainol, Zul sepatutnya menjauhkan diri apabila mengetahui dirinya sebagai bapa Zahirah tidak merestui hubungan mereka.
"Apa boleh dikatakan, Zul hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Dia sudah tahu saya tak restu, kenapa nak teruskan juga. Macam saya katakan, nak berkawan tidak ada masalah, tapi bukan bercinta atau ke fasa seterusnya.
"Selagi saya hidup, Zahirah masih menjadi tanggungjawab saya. Saya berharap, apa yang berlaku ini secara tak langsung, ia beri pengajaran dan harus 'move on'.
"Walaupun dia badan sado, saya tak takut. Saya hanya takut kepada Allah. Bagi saya, paling penting hormat orang tua," ujarnya.
Zainol memberitahu bahawa Zul tidak bersikap seperti gentleman kerana tidak berhubung sendiri dengannya untuk berkomunikasi, sebaliknya Zul hanya menyampaikan mesej kepadanya melalui Zahirah.
"Orang kata dia lelaki sejati. Tapi, kenapa tidak mahu menghubungi saya terus. Kenapa kena melalui Zahirah?
"Kalau dia tidak ada nombor telefon saya, boleh minta daripada Zahirah. Dari situ saja boleh tahu dia macam mana," tuturnya yang turut berlakon dengan Zahirah sebagai bapanya dalam drama 'Tak Ada CInta Sepertimu'.
Sebelum ini, dia secara terbuka menyatakan bahawa dia tidak merestui hubungan cinta Zahirah dengan Zul selagi dia masih hidup dan sering menasihatkan Zahirah agar hanya berkawan dengan pelakon itu.
Dalam pada itu, bercakap tentang dakwaan Zul tentang sikap Zahirah berswafoto berdekatan jenazah ibunya, Zainol berkata yang dia sudah mendidik anaknya dengan budaya timur.
Katanya, dia percaya anaknya tidak bertindak seperti didakwa pelakon 'Tombiruo: Penunggu Rimba' terbabit.
"Itu fitnah, Zahirah juga menafikan ada bergambar seperti didakwa. Walaupun dibesarkan di luar negara, dia masih tahu adab dan budaya yang kena hormat.
"Saya rasa Zul tiada modal untuk bercakap sehingga menjadikan perkara itu sebagai topik," jelas Zainol yang berharap anak sulung itu tabah dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana masih muda serta mempunyai masa depan yang panjang.
www.myartis.com / Sumber: Beautifulnara & mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment