15 April 2018

ZUL AKUI HUBUNGAN PUTUS: "SAYA BUKANNYA BODOH" - ZAHIRAH




"Sudah putus. Gelombang hubungan kami sudah diketahui ramai sejak tahun lalu. Diakui, hubungan kami ada masanya putus dan bersambung semula dalam tempoh berkenaan.





"Sebab itu, saya hanya memberi 'samar bayangan' jika ada yang bertanya. Hari ini, saya mahu menegaskan, perhubungan itu sudah berakhir dan tidak mungkin bertaut kembali.

"Jika masih meneruskan hubungan, bermakna saya menganiayai diri sendiri. Tiada apa yang mahu disembunyikan lagi," demikian kata pelakon Zul Ariffin, 31, yang bersikap lebih jelas apabila mengakui hubungan itu telah putus.

Tidak banyak yang diketahui umum mengenai percintaan Zul dan pelakon Zahirah Macwilson, 23, kerana keduanya bersikap low-profile mengenai percintaan mereka.

Zul juga menjelaskan apa yang terbuku di hatinya mengenai sikap Zahirah sewaktu Zul berhadapan dengan pemergian ibu tercinta, Robiah Nasir, 5 Disember lalu:

Klik untuk gambar besar


"Kecewa, tidak...! Kalau melihat orang 'berselfie' dengan gembira kira-kira 20 meter dari jenazah ibu tanpa rasa sensitif, inikah orang yang layak dibuat pasangan hidup?

"Itulah perasaan saya ketika melihat Zahirah seronok 'berselfie' bersama seorang teman berdekatan jenazah arwah ibu saya ketika dalam masjid.

"Ada beberapa saksi melihatnya, termasuk saya yang ketika itu mahu membuka penutup muka untuk mencium arwah ibu buat kali terakhir.

"Menyampah memandangnya, tetapi saya masih meneruskan hubungan. Saya tidak kejam dan tetap memaafkannya," tuturnya.

Zul pasrah bahawa hubungan mereka kini tidak boleh dipulihkan walaupun memaafkan Zahirah atas perkara itu.



"Saya tentunya mengharapkan ketenangan dan kebahagiaan dalam membina hubungan cinta. Jika terlalu banyak mengganggu kerja dan menjejaskan kehidupan peribadi, tiada guna untuk terus mempertahankannya.

"Tiada apa yang perlu saya kenangkan lagi," ujar pelakon 'Tombiruo: Penunggu Rimba' mengenai hubungan dengan Zahirah.

Namun begitu, Zahirah menafikan tuduhan bekas kekasihnya yang mendakwa dirinya seronok 'berselfie' bersama seorang teman berdekatan jenazah arwah ibu Zul ketika di dalam masjid.

"Saya terkejut membaca kenyataan Zul. Fitnah semata-mata. Jika benar, kalau ada bukti, sila tunjukkan. Apa motif dia burukkan nama saya selepas membuat pengesahan yang kami sudah putus?

"Takkan saya tak ada perasaan? Takkan saya tak sensitif langsung? Saya pun ada mencium arwah ibunya. Agak-agaklah, saya bukannya bodoh sangat sehingga sanggup bertindak sebegitu.



"Memang saya ada di masjid ketika itu dan saya hadir bersama teman saya. Dia juga mengenali teman saya.

"Nak berkata tentang selfie, saya ada berswafoto dengan sepupu Zul, itu pun ketika di selesai malam tahlil. Bukan ketika berada di dalam masjid sewaktu jenazah ibunya masih ada.

"Selepas selesai kenduri, sepupunya ada meminta untuk mengambil selfie bersama saya, jadi saya turutkan sahaja," jelas Zahirah ketika dihubungi.

Tambah bintang drama bersiri 'Tak Ada Cinta Sepertimu' ini, dia tidak faham dengan tindakan Zul yang seakan mahu memburukkannya.

"Kami sudah tiada hubungan, benar, sudah lebih sebulan, dia juga mengatakan sudah memaafkan saya, tetapi kenapa perlu memburukkan saya? Kenapa nak tabur fitnah?



"Kami putus pun bukan atas sebab tersebut. Saya tak mahu membuka mulut kerana itu akan membuka aib sahaja.

"Saya tak mahu burukkan sesiapa. Biarkanlah dia, saya hanya akan berdiam sahaja dan tak mahu berbicara lagi mengenai perkara ini.

"Apa yang berlalu, biar berlalu kerana saya mahu terus maju memandang apa yang ada di hadapan serta memberikan fokus kepada karier selepas ini," katanya optimis mengakhiri perbualan.

Nampaknya tiada jodoh antara pasangan sama cantik sama padan ini. Mungkin ini keputusan yang terbaik buat mereka berdua memandangkan sudah tiada persefahaman lagi.

Semoga keduanya bertemu dengan yang lebih baik di masa hadapan dan bertambah maju dalam kerjaya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: