06 May 2018

DIKECAM PANJAT BLOK 'I LOVE UMT' - KHAI & HAEL MOHON MAAF


Baru-baru ini, penyanyi popular Khai Bahar dan Hael Husaini telah dikecam netizen yang sebahagian besar didakwa penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT), gara-gara memanjat blok huruf 'I Love UMT'.





Laman Instagram rasmi UMT, @officialumt dihujani kritikan selepas memuatnaik semula gambar daripada IG Khai, semalam, yang mempersoalkan tindakan dua penyanyi itu bersama rakan mereka.

Difahamkan, gambar yang dimuatnaik Khai diambil selepas dia bersama rakan lain selesai menjayakan persembahan Jelajah Pagi Deeja di universiti itu pada Khamis.

Khai Bahar ketika dihubungi meminta maaf jika tindakannya itu mengguris hati sebahagian penuntut UMT.

Klik untuk gambar besar


"Sejujurnya, niat kami adalah untuk bergambar kenangan di situ. Tidak terfikir atau terlintas pun untuk menghina nama universiti terbabit seperti didakwa.

"Pihak UMT turut memuat naik semula gambar saya di IG. Jadi saya berasakan ia perkara biasa. Namun, tidak menjangka pula ia kecoh.

"Saya sedar tidak belajar tinggi seperti mereka, jadi tidak perlu keluarkan komen keterlaluan. Apa pun, dengan rasa rendah diri saya meminta maaf. Insya-Allah kalau ada rezeki saya pasti ke sana lagi," katanya.



Sementara itu, Hael yang kini muncul dengan single 'Haram' tidak menjangka gambar itu dijadikan isu sedangkan aksi mereka disedari pihak penganjur dan beberapa pensyarah yang berada di lokasi sama.

"Kalau betul tindakan kami salah, sepatutnya ditegur lebih awal. Jadi, kami tidak panjat blok huruf itu. Sejujurnya, saya memang tidak tahu menahu aksi berkenaan boleh menimbulkan isu berbangkit.

"Lagi satu, pihak UMT juga memuat naik semula gambar berkenaan. Jadi, saya berpendapat, perkara ini tidak salah.



"Namun, sekiranya aksi saya dan rakan lain menimbulkan rasa kurang senang penuntut di sana, saya mohon maaf. Saya berharap perkara ini tidak diperbesarkan lagi," tuturnya.

Sementara itu, UMT menerusi mesej yang dibalas kepada Pegawai Perhubungan Awam peribadi Khai, Mohammed Rizal Mohammed Yasin di laman Instagram menganggap tindakan Khai, Hael dan rakan mereka satu bentuk promosi.

"Tak ada isu apa pun sebenarnya. Di pihak kami sangat suka bila artis 'post' gambar berlatar belakangkan UMT. Promosi free untuk sosial media kami," tulisnya.

Dalam masa sama, pengikut IG lain tidak bersetuju dengan tindakan netizen yang mengkritik kerana menyalahkan satu pihak sahaja.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: