04 May 2018
HAMIL LUAR NIKAH - WANITA TUNTUT JANJI PEMUZIK ROCK
Masihkah anda ingat sebelum ini ada seorang wanita yang mendakwa dirinya itu hamil anak pelakon popular lelaki namun telah meminta maaf kerana menfitnah apabila anak itu bukan dari hasil hubungan pelakon tersebut.
Terbaru, wanita lain pula tampil menuntut pemuzik sebuah kumpulan rock menunaikan janji dan bertanggungjawab terhadap bayi sedang dikandung yang didakwanya hasil hubungan dengan lelaki itu.
Membuat pengakuan eksklusif kepada BH Online, wanita yang hanya dikenali sebagai Sofia itu kesal dan hilang punca apabila lelaki yang digelarnya Mr X bertindak memutuskan hubungan selepas pertemuan terakhir mereka pada 18 April lalu.
"Saya tampil kerana mahu dia bertanggungjawab dan tunaikan janji sejak hari pertama dia tahu saya hamil. Dia yang halang saya gugurkan janin ini dan berjanji akan bernikah.
"Tetapi, selepas kandungan saya masuk lima bulan, dia tiba-tiba berubah," katanya pada satu pertemuan, baru-baru ini.
Sofia mendakwa, hubungannya dengan pemuzik itu dikatakan semakin panas selepas lelaki itu bertindak merosakkan telefon bimbitnya selain menyekat panggilannya.
Klik untuk gambar besar
"Saya buntu kerana tidak dapat bercakap dengannya, malah dia juga melarikan diri. Keluarga dan rakannya juga tidak dapat membantu saya," dakwanya.
Sofia berkata, dia sudah lama mengenali pemuzik itu, namun mula menjalin hubungan cinta kira-kira setahun lalu.
"Saya tidak pandang rupa dan harta, sebaliknya menerima dirinya kerana dia tidak sama seperti lelaki lain. Saya terpedaya dengan sikap lembutnya.
"Saya tidak minat untuk mengungkit kisah lalu dan kesilapan yang dilakukan. Cuma, saya mahu menuntut hak saya dan bayi yang sedang dikandung ini," ujarnya.
Sofia berkata, dia mahu pemuzik terbabit bernikah dengannya supaya anak yang dikandungnya itu dilahirkan berbapa.
"Bayi ini tidak berdosa dan saya tidak mahu dia malu dengan statusnya apabila besar nanti. Mr X tidak patut buat begini.
"Saya tidak pernah berkira, malah sudah banyak berkorban terutama ketika dia berdepan masalah kewangan," dakwanya.
Sofia mendakwa, dia juga kesal apabila pemuzik itu tidak mempertahankan dirinya ketika kakak lelaki itu mencemuh dan menghamburkan kata kesat.
"Ini bukan soal saya gila glamor atau sebaliknya. Saya tahu dia tidak berharta, malah saya menerima dia seadanya kerana percaya kepada cinta yang dihulurkan," katanya.
Hampir setiap hari kita boleh dengar berita tentang kes hamil anak luar nikah semuanya gara-gara menurut kata nafsu dan demi membuktikan rasa 'cinta' kepada kekasih sehingga tergadai masa depan.
Siapa agaknya pemuzik rock tersebut? Harapnya beliau tidak terus lari daripada masalah dan kesilapan beliau. Jadilah seorang lelaki yang bertanggungjawab.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment