07 June 2018

3 KALI GUGUR - BLACK SAHKAN ISTERI HAMIL SEMULA, ANAK KEDUA


Alhamdulillah... tahniah kami ucapkan kepada penyanyi Black Hanifah apabila isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi, kini diberikan rezeki untuk hamil anak kedua selepas tiga kali keguguran.





Menurut Black, biarpun trauma dengan pengalaman lalu yang menimpa Naquia atau Cira, beliau memilih untuk berkongsi berita gembira itu selepas mendapat pengesahan doktor.

"Saya berkongsi berita ini kerana ramai juga yang bertanyakan mengenai kehamilan berkenaan. Bukan apa, lebih baik tunggu sehingga kandungan sudah sihat, baru saya berani untuk berkongsi dengan orang ramai.

"Saya memohon kepada semua untuk mendoakan kesejahteraan dan kesihatan isteri kerana sudah tiga kali saya bersedih apabila Cira mengalami keguguran. Semoga kehamilan kali ini dipermudahkan.

Klik untuk gambar besar


"Perkongsian ini dibuat selepas kami berjumpa doktor, baru-baru ini. Begitupun, jantina anak belum dapat dipastikan. Alhamdulillah, apa yang penting isteri dan kandungan sihat," katanya.

Penyanyi lagu 'Sakit Ku Rasa' itu mendirikan rumah tangga dengan Cira pada September 2013. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Khaleef Dayyan, yang kini berusia tiga tahun.

Berkongsi pengalaman isterinya sepanjang trimester pertama kehamilan, Black memberitahu, Cira mengalami kesukaran untuk bangun dan makan.



"Pada awal kehamilan, Cira sukar untuk bangun dan lebih selesa berada di rumah. Malah, dia juga tidak mempunyai selera makan.

"Ia sebenarnya tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan pengalaman ketika isteri mengandungkan Dayyan dulu," katanya yang muncul dengan lagu duet, 'Selamat Tinggal Masa', bersama Syamsul Yusof, baru-baru ini.

Black memberitahu, bagi menjaga kandungan, isterinya banyak meminta pendapat dan nasihat daripada doktor pakar sakit puan, Prof Norehan, daripada Hospital Kuala Lumpur.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: