22 June 2018

SYAWAL PERTAMA DI LAPANGAN TERBANG - YUNA TAK TOLAK HAMIL AWAL


"Pertama kali saya beraya dengan suami tapi di lapangan terbang Jepun sebab kami transit dari LA ke Kuala Lumpur.

"Ketika kami sampai di lapangan terbang itu Malaysia dah menyambut hari raya," kata penyanyi Yuna yang berkongsi pengalaman sedih apabila terpaksa menyambut hari raya pertama bersama suami, Adam Sinclair di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun.





Yuna atau Yunalis Zarai, 32, berkata, mereka terpaksa menyambut Syawal pertama sebagai suami isteri di lapangan terbang kerana menunggu pesawat transit ke Kuala Lumpur dari Los Angeles (LA).

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Dan Sebenarnya' dan 'Crush' itu mengakui cemburu apabila melihat umat Islam lain memuatnaik foto meraikan pagi Aidilfitri penuh ceria bersama keluarga tercinta.

"Saya cemburu melihat gambar yang dimuat naik di laman sosial. Ketika orang lain ceria meraikan Aidilfitri bersama keluarga sambil menikmati pelbagai juadah menyelerakan, saya dan suami pula hanya minum kopi di lapangan terbang," ujarnya yang kini menjadi Duta Pantene Malaysia.

Dalam pada itu, Yuna berkata, walaupun lewat tiba di tanah air namun dia dan Adam sempat meraikan hari raya bersama keluarga kedua-dua belah pihak pada hari raya kedua.

Klik untuk gambar besar


Malah kata Yuna, dia juga sempat menziarahi kaum keluarganya di Perak selama dua hari sebelum bercuti bersama keluarga suaminya di Pulau Langkawi, Kedah.

"Alhmdulillah saya dapat beraya dengan keluarga saya dan keluarga Adam di Shah Alam pada hari raya kedua. Dapatlah kami bergambar bersama.

"Lepas itu, saya dan suami pulang ke kampung saya yang terletak di Sayong dan Batu Gajah, Perak selama dua hari.

"Kemudian kami berdua sambung bercuti di Pulau Langkawi pula," tuturnya yang berkahwin dengan Adam atau nama penuhnya Adam Yousof Mohamed Sinclair, 34, pada 26 Januari lalu di Bentong, Pahang.



Mengulas mengenai cahaya mata, Yuna berkata, dia dan suami tidak menolak jika dianugerahkan rezeki yang tidak ternilai itu dalam masa terdekat.

Tidak pernah merancang untuk menimang cahaya mata, kesibukan dalam menguruskan kerjaya membuatkan Yuna ingin terlebih dahulu mahu memberikan fokus kepada karier muzik.

"Sudah pasti, sebagai wanita yang sudah berumah tangga, saya juga mempunyai impian untuk menjadi ibu. Saya dan suami tidak pernah merancang dalam hal ini.

"Jika diberikan Allah rezeki untuk hamil dalam masa terdekat, pasti saya menerimanya dengan gembira. Selagi belum ada rezeki, saya tumpukan dahulu perhatian kepada membina kerjaya," katanya.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: